
Cuaca panas: 15 kes direkod, satu kematian libatkan kanak-kanak
PUTRAJAYA – Sebanyak 15 kes berkaitan cuaca panas direkodkan di seluruh negara setakat tahun ini, termasuk tiga kes strok haba dan satu kematian melibatkan seorang kanak-kanak yang tertinggal di dalam kenderaan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata, keadaan cuaca panas melampau ketika ini menuntut orang ramai supaya lebih peka terhadap tanda awal strok haba.
Menurutnya, antara simptom yang perlu diberi perhatian termasuk pening berpanjangan, rasa dahaga melampau serta suhu badan yang semakin meningkat.
“Sekiranya terdapat tanda-tanda ini, orang ramai perlu segera mengambil langkah pencegahan seperti mencari tempat teduh, minum air kosong dengan kerap dan menyejukkan badan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.
Beliau turut berkata, orang ramai dinasihatkan tidak meninggalkan kanak-kanak atau mana-mana individu di dalam kenderaan tanpa pengawasan walaupun hanya untuk tempoh singkat.
“Golongan seperti bayi, kanak-kanak, warga emas, pesakit kronik serta individu yang aktif di bawah cuaca panas adalah antara kumpulan berisiko tinggi mengalami strok haba,” katanya lagi.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan daerah Padang Terap, Kedah kini berada pada tahap dua iaitu gelombang haba dengan suhu maksimum harian antara 37 hingga 40 darjah Celsius.
Menurut MetMalaysia, sebanyak 14 kawasan lain di Semenanjung Malaysia turut berada pada tahap satu (berjaga-jaga), melibatkan seluruh Perlis serta beberapa daerah di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan.
Jelasnya, tahap gelombang haba ditakrifkan apabila suhu maksimum harian mencecah antara 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut, manakala tahap berjaga-jaga pula melibatkan suhu antara 35 hingga 37 darjah Celsius dalam tempoh sama.
Orang ramai disaran untuk sentiasa mengikuti perkembangan semasa cuaca serta mengambil langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko kesihatan akibat cuaca panas, khususnya menjelang musim perayaan Aidilfitri.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








