
Pegawai perisikan Iraq terbunuh dalam serangan dron berhampiran ibu pejabat
BAGHDAD- Seorang pegawai Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan Iraq dilaporkan maut dalam satu insiden serangan yang berlaku berhampiran ibu pejabat agensi itu di sini, pagi Sabtu.
Menurut kenyataan rasmi yang dimuat naik di platform X, serangan tersebut berlaku kira-kira jam 10 pagi waktu tempatan apabila kawasan sekitar kompleks agensi berkenaan menjadi sasaran tindakan yang disifatkan sebagai serangan pengganas.
“Serangan oleh kumpulan penjenayah itu telah mengorbankan seorang pegawai,” menurut kenyataan berkenaan.
Agensi itu menyifatkan insiden tersebut sebagai cubaan terdesak untuk menggugat operasi dan peranan profesionalnya, namun menegaskan komitmen untuk terus melaksanakan tanggungjawab demi keselamatan negara.
Tambah kenyataan itu, tindakan keganasan sedemikian tidak akan melemahkan semangat mereka, sebaliknya meningkatkan usaha untuk menjejak dan membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
Dalam perkembangan berkaitan, kumpulan yang dikaitkan dengan penentangan di Iraq mendakwa serangan itu berlaku susulan pengunduran beberapa anggota perisikan Amerika Syarikat selepas siri serangan ke atas Kedutaan AS dan Pangkalan Victoria. Bagaimanapun, dakwaan tersebut masih belum disahkan oleh pihak berkuasa rasmi.
Sementara itu, Ketua Sel Media Keselamatan Iraq, Saad Maan, dalam kenyataan berasingan yang disiarkan Agensi Berita Iraq (INA) memaklumkan sebuah dron terhempas di ibu pejabat agensi perisikan itu di kawasan Al-Mansour, barat Baghdad, sekitar jam 10.15 pagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








