LUAR NEGARA

Individu paling kaya di Indonesia meninggal dunia

JAKARTA – Tokoh perniagaan terkemuka Indonesia, Michael Bambang Hartono yang pernah dinobatkan sebagai individu terkaya negara itu, dilaporkan meninggal dunia pada usia 86 tahun di Singapura, semalam.

Pemergian beliau disahkan jurucakap syarikat Djarum, Budi Darmawan yang memaklumkan seluruh keluarga besar syarikat berkenaan berdukacita atas kehilangan tersebut.

Michael dikenali sebagai pemilik bersama Djarum, antara pengeluar rokok terbesar di Indonesia yang berpangkalan di Kudus, Jawa Tengah.

Di bawah kepimpinannya, perniagaan keluarga itu berkembang pesat merangkumi sektor perbankan, elektronik serta perdagangan digital.

Menurut Bloomberg Billionaires Index, beliau memiliki nilai bersih sekitar AS$16.3 bilion (RM64.2 bilion), sekali gus meletakkannya dalam kelompok 200 individu terkaya dunia, meskipun kekayaannya susut kira-kira lapan peratus sepanjang tahun ini.

Kekayaan tersebut didorong pelaburan strategik termasuk pegangan besar dalam Bank Central Asia (BCA), selain penguasaan kumpulan Djarum ke atas Polytron serta pengembangan ke sektor kenderaan elektrik dan platform e-dagang Blibli.

Michael bersama abangnya, Robert Budi Hartono, mewarisi perniagaan tembakau keluarga sebelum memodenkan operasi dan memperluas empayar ke pelbagai sektor termasuk perkhidmatan kewangan dan hartanah di Greater Jakarta.

Selain kejayaan dalam dunia korporat, beliau turut mewakili Indonesia dalam acara bridge pada Sukan Asia 2018 dan membantu pasukan negara meraih pingat gangsa.

Michael meninggalkan seorang isteri serta empat orang anak.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button