BERITA SEMASALUAR NEGARA

FIFA denda persatuan bola sepak Israel RM776,000, isu diskriminasi

ZURICH – FIFA mengenakan denda sebanyak 150,000 franc Swiss (RM776,000) terhadap Persatuan Bola Sepak Israel (IFA) termasuk pelbagai amaran berhubung pelanggaran peraturan anti-diskriminasi.

Keputusan itu dibuat selepas jawatankuasa disiplin FIFA meneliti pengendalian isu perkauman dalam bola sepak Israel, susulan aduan dikemukakan oleh Persatuan Bola Sepak Palestin pada Kongres FIFA ke-74 pada Mei 2024.

Menurut FIFA, IFA didapati melanggar Artikel 13 berkaitan tingkah laku menyinggung serta pelanggaran prinsip permainan adil, selain Artikel 15 yang menyentuh isu diskriminasi dan penyalahgunaan perkauman dalam kod disiplin badan itu.

Selain denda dan amaran, IFA turut diarahkan memaparkan sepanduk bersaiz besar dengan mesej “Football Unites the World – No to Discrimination” bersama logo persatuan itu pada tiga perlawanan tempat sendiri akan datang.

FIFA menetapkan reka bentuk, susun atur serta kedudukan sepanduk berkenaan perlu dikemukakan kepada badan induk itu sekurang-kurangnya 15 hari sebelum setiap perlawanan untuk kelulusan.

Dalam masa sama, IFA juga diarah memperuntukkan satu pertiga daripada jumlah denda bagi melaksanakan pelan komprehensif untuk menangani isu diskriminasi serta mencegah kejadian berulang.

Bagaimanapun, FIFA memaklumkan keputusan tersebut masih tertakluk kepada kemungkinan rayuan oleh pihak IFA.

Sementara itu, PFA turut mendakwa IFA membenarkan penyertaan pasukan yang berpangkalan di wilayah persatuan lain iaitu Palestin dalam liga domestik Israel.

Namun, FIFA memutuskan tiada tindakan lanjut diambil memandangkan status undang-undang Tebing Barat masih belum dimuktamadkan dan merupakan isu kompleks di bawah undang-undang antarabangsa.

Dalam perkembangan berkaitan, PFA memaklumkan perlawanan persahabatan pasukan kebangsaan Palestin menentang Mauritania dan Benin di Maghribi pada hujung bulan ini terpaksa dibatalkan berikutan konflik berterusan di Timur Tengah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button