Aidilfitri cerminan perpaduan masyarakat berbilang kaum – Ramanan
KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Raya Aidilfitri terus menjadi lambang keindahan perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, perayaan itu bukan sahaja diraikan oleh umat Islam, malah turut dikongsi bersama masyarakat pelbagai agama melalui tradisi kunjung-mengunjung dan amalan rumah terbuka.
“Tradisi ini menjadi simbol keharmonian masyarakat Malaysia yang saling menghormati dan menerima kepelbagaian budaya.
“Dalam suasana Aidilfitri, kita melihat bagaimana rakyat duduk semeja, berkongsi juadah dan mengeratkan hubungan tanpa mengira agama, bangsa atau latar belakang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, semangat tersebut selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai kemanusiaan, kesejahteraan dan keharmonian dalam masyarakat.
Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata, Aidilfitri merupakan detik untuk kembali menghargai perkara paling bermakna dalam kehidupan iaitu keluarga, kasih sayang dan kebersamaan.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap pengorbanan golongan pekerja termasuk pekerja gig yang gigih mencari rezeki demi keluarga, meskipun berdepan cabaran ekonomi.
“Menjelang Syawal, ramai memulakan perjalanan pulang ke kampung, membawa bersama rindu yang sekian lama terpendam.
“Bagi sesetengah keluarga, kepulangan ini mungkin hanya sekali setahun, namun saat bertemu insan tersayang, segala penat lelah seakan hilang,” katanya lagi.
Tambah beliau, suasana saling bersalaman dan berkongsi senyuman ketika Aidilfitri memperkukuh silaturahim serta menyemai persefahaman antara rakyat.
“Inilah keindahan sebenar Malaysia apabila nilai hormat, kasih sayang dan kebersamaan menjadi asas kepada perpaduan yang kukuh,” katanya lagi.
Beliau dalam masa sama mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri serta mendoakan agar perjalanan pulang rakyat sentiasa selamat dan sambutan Syawal diraikan dengan penuh kegembiraan bersama keluarga tersayang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








