JENAYAH & MAHKAMAH

[VIDEO] Polis buru suspek dirakam belasah isteri hamil

MELAKA – Polis sedang memburu seorang lelaki kerana disyaki membelasah dan menggilis kepala isterinya dengan motosikal di Kota Shahbandar, di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek dipercayai masih bersembunyi di Melaka.

“Kita masih kesan, masih (berada di Melaka). Kita percaya suspek melarikan diri dan Insya-Allah dalam masa terdekat akan dapat (tangkap). Isteri dan anaknya ada (ditemui) hanya suami yang tak dapat kesan,” katanya pada Program Ronda Santai Panjut Pelita bersama Ketua Polis Melaka di Balai Polis Batang Tiga, Klebang, di sini awal pagi tadi.

Jelas beliau, mangsa dan anak lelaki mereka berusia dua tahun yang sebelum ini dipercayai berada dengan suspek ditemui dalam keadaan selamat.

Ketika ditanya sama ada suspek mempunyai rekod berkaitan dadah, beliau memberitahu perkara tersebut masih lagi dalam siasatan.

Laporan media sebelum ini menyebut, tular di media sosial rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan aksi keji suspek memukul wanita dipercayai isterinya yang sedang hamil.

Rakaman tersebut menunjukkan suspek memukul, menampar, menarik rambut dan melanggar kepala mangsa dengan motosikal ketika wanita itu terbaring.

Polis menerima laporan pada pukul 1.17 pagi, 16 Mac lalu daripada ibu mangsa berusia 51 tahun dan siasatan awal mendapati kejadian berlaku pukul 9 malam, 15 Mac lalu di sebuah pusat hiburan apabila mangsa yang hamil dipercayai dibelasah suaminya.

Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Melaka di sini pada pukul 4.41 pagi dan menerima rawatan di Zon Merah.

Wanita itu mengalami kecederaan tisu lembut di bahagian kepala serta pipi kanan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button