Hampir 80 peratus tiket ETS Aidilfitri sudah terjual
KUALA LUMPUR – Hampir 80 peratus tiket perkhidmatan tren elektrik (ETS) sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini telah habis dijual setakat hari ini.
Ketua Pegawai Operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Afzar Zakariya berkata, sebanyak kira-kira 285,000 tiket ditawarkan dalam tempoh 13 hari bermula 17 hingga 29 Mac bagi memenuhi permintaan tinggi orang ramai untuk pulang ke kampung.
Menurutnya, setakat ini sebanyak 79 peratus tiket telah terjual, manakala baki sekitar 21 peratus lagi masih tersedia untuk pembelian.
“Daripada jumlah yang terjual itu, kebanyakan tiket perjalanan keluar dari Kuala Lumpur sudah habis, terutamanya bagi laluan popular seperti KL Sentral ke Butterworth dan Padang Besar.
“Namun, masih terdapat tiket bagi perjalanan masuk ke Kuala Lumpur sebelum Hari Raya,” memetik BH Online.
Afzar berkata, KTMB turut menambah jumlah perjalanan tren bagi menampung permintaan tinggi penumpang sepanjang musim perayaan.
Menurutnya, sebanyak 70 perjalanan tren disediakan setiap hari merangkumi perkhidmatan ETS dan tren baharu EMU Plus bagi laluan KL Sentral ke Ipoh.
“Jumlah ini meningkat berbanding 66 perjalanan tren sehari yang disediakan ketika sambutan Tahun Baharu Cina lalu,” katanya lagi.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya segera mendapatkan tiket perjalanan termasuk tiket pulang ke ibu kota kerana ia dijangka habis dalam masa terdekat.
“Orang ramai juga boleh melayari laman web serta media sosial rasmi KTMB untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan jadual perjalanan dan promosi yang ditawarkan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








