LUAR NEGARA

Perang di Iran ‘pengajaran pahit’ kepada EU tentang kebergantungan kepada bahan api fosil

BRUSSELS – Gangguan terhadap sektor tenaga yang disebabkan oleh perang di Iran merupakan satu “pengajaran pahit” mengenai risiko bergantung kepada bahan api fosil.

Menurut Setiausaha Eksekutif badan perubahan iklim PBB (UNFCCC), Simon Stiell, konflik tersebut menunjukkan kerajaan secara beransur-ansur perlu mengurangkan pergantungan ekonomi mereka terhadap minyak dan gas.

Beliau berkata demikian kepada pembuat dasar Kesatuan Eropah (EU) dan menteri kerajaan dalam satu acara di sini, lapor al-Jazeera.

“Walaupun EU secara geografi terletak jauh daripada krisis di Asia Barat, kesan konflik berkenaan turut dirasai melalui kenaikan mendadak harga tenaga global.

“(Sebagai contoh) Harga gas di Eropah telah melonjak sebanyak 50 peratus sepanjang tempoh dua minggu perang tersebut.

“Kebergantungan kepada bahan api fosil menyebabkan kos (hidup) semakin meningkat dan turut menghakis keselamatan dan kedaulatan negara,” kata Stiell dalam ucapannya.

Beliau menambah, kebergantungan Eropah kepada import bahan api fosil berbanding hampir semua ekonomi besar lain menyebabkan pengguna “terdedah kepada kejutan geopolitik dan ketidaktentuan harga”.

Sebagai rekod, EU mengimport lebih 90 peratus minyak dan 80 peratus gas untuk kegunaannya.

Pemimpin EU kini sedang merangka langkah kecemasan bagi melindungi pengguna daripada lonjakan harga tenaga, serta mengelakkan berulangnya krisis tenaga Eropah seperti yang berlaku pada tahun 2022 apabila Russia mengurangkan bekalan gas, sekali gus menyebabkan harga melonjak ke paras rekod.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button