JENAYAH & MAHKAMAH

Remaja ditemukan maut dalam longkang, polis sahkan tiada unsur jenayah

IPOH – Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kes kematian seorang remaja lelaki berusia 19 tahun yang ditemui dalam longkang di Taman Menglembu Impiana Adril, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asistan Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pemeriksaan awal di lokasi kejadian serta hasil bedah siasat mendapati tiada kesan kecederaan yang menunjukkannya menjadi mangsa jenayah.

Menurutnya, bedah siasat dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada pukul 3.30 petang.

“Polis menerima maklumat mengenai penemuan mayat mangsa pada pukul 11.45 pagi.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati, mangsa ditemukan dalam keadaan terlentang di dalam longkang dengan kesan darah pada bahagian mulut.

“Pemeriksaan lanjut di lokasi juga tidak menemui sebarang tanda pergelutan atau unsur jenayah,” katanya dalam satu kenyataan.

Muhammad Najib berkata, hasil bedah siasat mendapati, punca kematian mangsa adalah akibat kecederaan di kepala dipercayai kerana terjatuh dari tempat tinggi.

Berikutan itu katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi melengkapkan laporan siasatan.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, mayat mangsa yang merupakan seorang pelajar institusi pengajian tinggi ditemukan dalam longkang kira-kira 30 meter dari rumah keluarganya.

Mayat remaja tersebut ditemukan seorang lelaki yang tinggal berhampiran kawasan itu ketika mahu memarkir kenderaannya di kawasan teduh berhampiran longkang berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button