JENAYAH & MAHKAMAH

Rakan dibantu bawa geng, pasangan kekasih dipukul sebelum rumah dirompak

KUALA LUMPUR – Niat baik sepasang kekasih membantu seorang rakan lelaki yang berdepan kesusahan berakhir dengan detik menakutkan apabila individu itu dipercayai membawa beberapa individu lain untuk merompak kediaman mereka di Bandar Manjalara, Kepong.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.38 pagi semalam, pasangan terbabit turut dipukul oleh kumpulan suspek yang bersenjatakan parang, alat renjatan elektrik dan kayu golf sehingga mengalami kecederaan.

Mangsa wanita yang mahu dikenali sebagai Chua, 32, berkata, ketika kejadian dia dan teman lelakinya sedang tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat dari arah pintu bilik.

Menurutnya, mereka kemudian mendapati lima individu terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita memecah masuk ke dalam rumah berkenaan.

“Kami terdengar bunyi dentuman kuat sebelum pintu bilik ditendang. Tidak lama kemudian lima individu yang membawa parang, alat renjatan elektrik dan kayu golf menyerbu masuk ke dalam bilik,” memetik BH online.

Chua berkata, mereka tidak sempat mempertahankan diri kerana diserang secara mengejut oleh kumpulan terbabit.

Menurutnya, demi keselamatan diri, mereka terpaksa menyerahkan barangan berharga termasuk wang tunai, telefon bimbit, kad pengenalan, kad bank serta kunci kereta milik rakannya yang disimpan di rumah itu.

“Mereka turut melarikan sebuah kereta Honda Civic berwarna perak milik rakan saya,” katanya lagi.

Tambahnya, salah seorang daripada suspek merupakan rakan baik kepada teman lelakinya yang sebelum ini pernah beberapa kali dibantu termasuk diberikan tempat tinggal.

Bagaimanapun, beberapa hari sebelum kejadian teman lelakinya dilaporkan bertengkar dengan lelaki berkenaan sebelum dia berpindah keluar dari rumah tersebut.

“Saya tidak sangka dia datang semula bersama individu lain untuk melakukan rompakan sehingga menyebabkan kami kerugian kira-kira RM6,000 selain kereta rakan dibawa lari,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Basri Sagoni berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada jam 12.10 tengah malam.

Menurutnya, mangsa memaklumkan didatangi empat lelaki dan seorang wanita di bilik sewa mereka di Bandar Manjalara sebelum berlaku pertengkaran mulut.

“Ketika melarikan diri, suspek mengambil kunci kereta Honda City, tiga telefon bimbit serta dokumen peribadi milik mangsa,” katanya lagi.

Beliau berkata, susulan kejadian itu polis menahan dua lelaki di sebuah hotel di Cheras kira-kira jam 3.30 pagi bagi membantu siasatan.

“Permohonan reman terhadap kedua-dua suspek dibenarkan selama enam hari sehingga 20 Mac ini,” katanya lagi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button