JENAYAH & MAHKAMAH

Albert Tei mohon pindah lima pertuduhan rasuah ke Mahkamah Tinggi

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Albert Tei akan memfailkan permohonan untuk memindahkan lima pertuduhan rasuah yang dihadapinya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi di sini.

Peguamnya, Mahajoth Singh berkata, permohonan itu dijangka difailkan selewat-lewatnya minggu depan kerana kes berkenaan melibatkan isu perlembagaan di bawah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, pihak pembelaan juga akan meneliti semua dokumen kes terlebih dahulu sebelum menentukan sama ada perlu mengemukakan representasi kepada pihak pendakwaan.

Terdahulu, semasa prosiding di hadapan Hakim Rosli Ahmad, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar memaklumkan pihak pendakwaan telah menyerahkan sebahagian dokumen kes kepada pihak pembelaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 15 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum itu Albert Tei, atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing, 37, didakwa atas empat pertuduhan memberi suapan wang tunai berjumlah RM140,000 serta kelengkapan perabot termasuk barangan elektrik bernilai RM14,580.03 dan RM22,249 kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan bagi membantu syarikat yang mempunyai kepentingan dengan tertuduh mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah walaupun perkara tersebut tidak mempunyai kaitan dengan hal ehwal prinsipalnya.

Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di beberapa lokasi termasuk tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin, Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya serta Presint 14, Putrajaya antara 24 November 2023 hingga 5 Mac 2024.

Selain itu, Albert turut didakwa memberi suapan berjumlah RM64,924 kepada Shamsul Iskandar di sebuah bank di Country Heights, Kajang antara 28 November 2023 hingga 23 September 2024.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button