Polis kesan petunjuk positif kes serangan rumah Cikgu Chandra
SHAH ALAM – Polis mengesahkan telah memperoleh beberapa petunjuk positif dalam siasatan berhubung insiden khianat dan ugutan jenayah membabitkan aktivis S. Chandrasegaran, 47, atau dikenali sebagai Cikgu Chandra yang berlaku di Taman Kinrara, Puchong.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, bagaimanapun butiran lanjut tidak dapat didedahkan buat masa ini kerana siasatan masih berjalan.
“Setakat ini, selepas ditaklimatkan pagi ini, terdapat beberapa petunjuk positif bagi kedua-dua kes. Namun saya tidak boleh kongsikan kerana siasatan masih berlangsung.
“Kita akan memaklumkan perkembangan siasatan dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini hari ini.
Menurut beliau, polis telah membuka kertas siasatan sejurus laporan dibuat dan tindakan awal telah diambil bagi mengenal pasti pihak yang terlibat dalam kejadian tersebut.
Shazeli turut memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara telus dan adil tanpa sebarang unsur penganiayaan terhadap mana-mana pihak.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau provokasi, khususnya yang menyentuh isu agama, kaum dan institusi diraja (3R).
BACA JUGA:
Rumah cuba dipecah masuk dan kenderaan dipecahkan, Cikgu Chandra terima ancaman bunuh
Selepas rumah diceroboh, tiga kereta Cikgu Chandra dibakar
Cikgu Chandra gesa pihak berkuasa bertindak tegas
Katanya, keadaan semasa yang sensitif membabitkan isu agama dan kaum perlu dikawal agar tidak menimbulkan ketegangan dalam masyarakat.
“Saya menyeru masyarakat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membantu meredakan keadaan, termasuk rakan media supaya memainkan peranan dalam menurunkan suhu kehangatan isu-isu 3R.
“PDRM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba memainkan atau menyemarakkan isu 3R,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Terdahulu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 427, Seksyen 506 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan susulan dua laporan berasingan berkaitan insiden yang menimpa Cikgu Chandra.
Dalam kejadian pada pukul 3.30 petang semalam, sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang disyaki menyerang rumah Chandra di Taman Kinrara.
Suspek dipercayai memecahkan cermin belakang kereta Perodua Viva miliknya serta merosakkan jeriji besi di hadapan rumah.
Dalam kejadian berasingan padapukul 3.20 pagi tadi, sekumpulan individu dipercayai datang semula ke rumah Chandra sebelum mencampakkan objek dipercayai bom petrol.
Akibat kejadian itu, sebuah kereta jenis Suzuki Ertiga milik Chandra musnah sepenuhnya, manakala Perodua Viva dan sebuah lagi kenderaan turut terjejas akibat kebakaran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












