LUAR NEGARA

HRW gesa kerajaan Haiti kawal penggunaan dron dalam operasi banteras kumpulan jenayah

PORT-AU-PRINCE, Haiti – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Human Rights Watch (HRW) berkata, sekurang-kurangnya 1,243 maut manakala 738 lagi cedera akibat serangan dron pasukan keselamatan Haiti dan kontraktor swasta sejak tahun lalu.

HRW dalam satu kenyataan berkata, dron kuadkopter yang dipasang bahan letupan itu digunakan dengan meluas dalam operasi membanteras kumpulan jenayah yang dilaksanakan pasukan keselamatan Haiti dengan sokongan Vectus Global, sebuah firma ketenteraan swasta berlesen dari Amerika Syarikat sejak Mac lalu.

Bagaimanapun, menurut HRW, seramai 17 kanak-kanak dan 43 orang dewasa yang dipercayai bukan anggota mana-mana kumpulan jenayah, turut terkorban dalam serangan dron sejak 1 Mac 2025 hingga 21 Januari lalu.

“Pihak berkuasa Haiti perlu segera mengawal pasukan keselamatan dan kontraktor swasta yang bekerja untuk mereka sebelum lebih ramai kanak-kanak terbunuh,” kata Pengarah HRW bagi Amerika, Juanita Goebertus dalam satu kenyataan, lapor al-Jazeera.

NGO tersebut berkata, jumlah serangan dron di Port-au-Prince yang kira-kira 90 peratus dikawal oleh kumpulan jenayah, telah “meningkat dengan ketara” sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

“Sebanyak 57 serangan dilaporkan antara November hingga akhir Januari, hampir dua kali ganda berbanding 29 serangan yang direkodkan antara Ogos hingga Oktober,” katanya dalam kenyataan tersebut.

HRW berkata, para penyelidiknya menganalisis tujuh video yang dimuat naik di media sosial atau dikongsi terus dengan organisasi itu yang menunjukkan dron kuadkopter digunakan dalam serangan, dan empat daripadanya dikenal pasti melalui geolokasi berlaku di Port-au-Prince.

“Video tersebut menunjukkan penggunaan berulang dron yang dilengkapi bahan letupan untuk menyerang kenderaan dan orang ramai, sebahagian daripada mereka bersenjata, tetapi tiada yang kelihatan sedang melakukan tindakan ganas atau menimbulkan ancaman segera kepada nyawa,” kata HRW..

Salah satu serangan yang diketengahkan dalam laporan itu berlaku 20 September tahun lalu di kawasan kejiranan Simon Pele, sebuah komuniti miskin yang dikawal oleh kumpulan jenayah dengan nama yang sama.

Serangan dron itu mengorbankan sembilan orang, termasuk tiga kanak-kanak, dan mencederakan sekurang-kurangnya lapan yang lain ketika ketua kumpulan jenayah tersebut sedang bersiap untuk mengagihkan hadiah kepada kanak-kanak di kawasan tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button