LUAR NEGARA

Taufan Melissa ragut 25 nyawa, Haiti dan Cuba lumpuh

MEXICO CITY – Sekurang-kurangnya 25 orang dilaporkan maut selepas Taufan Melissa melanda Haiti menjadikannya antara ribut paling dahsyat melanda rantau Caribbean dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurut laporan Xinhua yang memetik Radio Television Caraibes, kawasan pesisir barat daya Petit-Goâve hampir musnah sepenuhnya dengan banyak rumah runtuh dan serpihan bertaburan di jalan.

Datuk Bandar, Jean Bertrand Subrème berkata, pasukan penyelamat masih berusaha mengeluarkan mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan.

Rakaman dari lokasi menunjukkan kemusnahan meluas, manakala hujan lebat berterusan memburukkan lagi operasi mencari dan menyelamat.

Taufan Melissa
Imej satelit menunjukkan pergerakan Taufan Melissa.

Menurut beberapa laporan agensi berita antarabangsa, sungai La Digue melimpah dan menyebabkan banjir besar yang menenggelamkan beberapa kampung berhampiran.

Melissa yang mula terbentuk pada 21 Oktober lalu kini dikategorikan sebagai Taufan Kategori 5 dengan kelajuan angin mencecah 185 batu sejam (298 km/j), menurut Pusat Taufan Kebangsaan (NHC) Amerika Syarikat.

Ribut itu turut membadai Jamaica sebelum bergerak ke Cuba dan kini memberi kesan kepada Bahama.

Di Cuba, kerajaan memindahkan lebih 700,000 penduduk ke pusat perlindungan, manakala di Jamaica, kerosakan besar menyebabkan kerajaan mengisytiharkan bencana nasional.

UNICEF pula memberi amaran bahawa lebih 1.6 juta kanak-kanak di rantau Caribbean kini berisiko akibat banjir dan gangguan perkhidmatan asas.

Organisasi Kesihatan Pan Amerika (PAHO) turut menyalurkan bantuan kecemasan kepada Haiti, memberi tumpuan kepada kemudahan kesihatan dan bekalan air bersih.

Pihak antarabangsa termasuk The Guardian dan Reuters melaporkan bahawa peningkatan suhu laut akibat perubahan iklim global menjadi faktor utama penguatan mendadak Melissa.

Negara-negara pulau kecil Caribbean kini menyeru bantuan antarabangsa serta komitmen lebih besar terhadap dana adaptasi iklim bagi menghadapi bencana serupa pada masa hadapan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button