BERITA SEMASA

Nurul Syazwani umum letak jawatan Ketua Penerangan Srikandi BERSATU

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Penerangan Srikandi BERSATU, berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata, jawatan yang saya sandangnya ketika ini adalah merupakan jawatan lantikan di bawah kepimpinan Ketua Srikandi Malaysia, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

“Sehubungan dengan perkembangan terkini yang menyaksikan beliau digantung daripada jawatan tersebut, saya merasakan adalah lebih wajar dan berprinsip untuk saya juga melepaskan jawatan yang diamanahkan kepada saya.

“Sebagai wakil rakyat wanita paling muda dalam parti ini, saya tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa dan bimbang melihat keadaan yang sedang berlaku dalam organisasi kita hari ini.

“Parti yang sepatutnya menjadi wadah perjuangan bersama kini kelihatan sedang melalui satu fasa yang sangat mencabar dari sudut kestabilan kepimpinan dan kesatuan dalaman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, perkembangan itu bukan sahaja memberi kesan kepada struktur kepimpinan Srikandi, malah turut memberi gambaran yang kurang meyakinkan kepada akar umbi serta rakyat yang memerhati perjalanan parti itu.

Lebih membimbangkan katanya, apabila wakil rakyat yang dipilih dan diberikan mandat oleh rakyat turut dikenakan tindakan pemecatan dan penggantungan.

“Keadaan ini memberi persepsi seolah-olah suara dan mandat rakyat tidak dihormati sepenuhnya, sedangkan setiap kerusi yang dimenangi adalah hasil kepercayaan rakyat terhadap parti dan perjuangan kita.

“Lebih membimbangkan, semua ini berlaku pada ketika pilihan raya semakin hampir, di saat parti sepatutnya memperkukuhkan saf perjuangan, menyatukan barisan kepimpinan serta mempersiapkan jentera dengan lebih tersusun dan berdisiplin,” katanya.

Sementara itu katanya, sepanjang tempohnya memegang amanah sebagai Ketua Penerangan Srikandi, beliau telah berusaha menjalankan tanggungjawab tersebut dengan penuh komitmen demi memperkukuhkan naratif perjuangan parti serta cuba menegakkan prinsip Srikandi untuk menjadi agen pendamai dan sentiasa mengutamakan kepentingan parti daripada kepentingan individu serta memperjuangkan suara wanita dalam politik tanah air.

“Saya berharap agar kepimpinan parti dapat menilai dengan penuh kebijaksanaan segala perkembangan yang sedang berlaku, demi memastikan parti ini tidak kehilangan arah di saat rakyat sedang memerhati dan masa depan perjuangan sedang dipertaruhkan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button