Cikgu Chandra gesa pihak berkuasa bertindak tegas
CYBERJAYA – Pihak berkuasa digesa supaya bertindak tegas dan tidak melindungi mana-mana pihak memandangkan kes gangsterisme dilihat semakin menjadi-jadi.
Aktivis, S. Chandrasegaran, 47, atau lebih dikenali sebagai ‘Cikgu Chandra’ berkata, kejadian serangan yang menyebabkan dua buah kereta miliknya terbakar pagi tadi, bukan kali pertama terjadi ke atasnya, lapor SH Online.
“Saya juga pernah diserang oleh individu tidak dikenali pada 2022, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil terhadap pelaku terbabit.
“Bagaimanapun, insiden tersebut juga tidak menerima sebarang tindakan lanjut daripada pihak berkaitan meskipun saya cedera akibat ditetak,” katanya, hari ini.
Dalam kejadian awal pagi tadi, iaitu sebuah Proton Ertiga musnah sepenuhnya, manakala sebuah lagi Perodua Viva dan dan sebuah lagi kenderaan turut rosak akibat kebakaran itu.
Mengulas keadaan terkini, Chandra berkata, kawalan keselamatan di kawasan rumahnya kini diperketatkan dan dia serta keluarganya masih trauma susulan kejadian yang menimpa mereka.
Terdahulu, semalam, sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang menyerang rumahnya di Taman Kinrara, Puchong kira-kira pukul 3.30 petang ketika dia berada di rumah bersama dua anaknya.
Jelasnya, dua lelaki tidak dikenali yang memakai topeng hitam dan parang itu membuka pagar kediamannya serta memecahkan cermin belakang kereta Perodua Viva miliknya selain merosakkan jeriji besi di hadapan rumah.
“Apabila menyedari kedatangan suspek, saya terus menutup pintu hadapan rumah dan mereka masih mengetuk pintu hampir tiga minit.
“Semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati terdapat kira-kira enam individu menaiki dua kenderaan dipercayai berada di luar rumah ketika kejadian,” ujarnya.
Tambahnya, rentetan itu, sekumpulan individu dipercayai datang semula ke rumahnya kira-kira pukul 3.20 pagi tadi sebelum mencampakkan objek dipercayai bom petrol (molotov cocktail).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |










