BERITA SEMASA

Mojtaba Khamenei dipilih pemimpin tertinggi baharu Iran

TEHRAN – Badan ulama tertinggi Iran, Assembly of Experts, menggesa rakyat negara itu mengekalkan perpaduan serta menyatakan sokongan kepada Mojtaba Khamenei, anak kepada pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei sebagai pemimpin tertinggi baharu negara.

Dalam kenyataan yang disiarkan media kerajaan pada Ahad, badan ulama yang dianggotai 88 orang itu memaklumkan pemilihan Mojtaba dibuat menerusi “undi yang tegas dan muktamad”.

Mojtaba Khamenei

Menurut kenyataan tersebut, seluruh rakyat Iran khususnya golongan elit, sarjana agama di pusat pengajian serta komuniti universiti diminta menyatakan taat setia kepada kepimpinan baharu serta memastikan perpaduan negara terus dipelihara.

Mojtaba sebelum ini tidak pernah bertanding dalam mana-mana pilihan raya atau melalui undian awam, namun beliau sejak sekian lama dianggap tokoh berpengaruh dalam lingkungan dalaman bapanya, Ali Khamenei.

Beliau juga dilaporkan mempunyai hubungan rapat dengan pasukan separa tentera elit negara itu, Islamic Revolutionary Guard Corps (IRGC).

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Mojtaba sering disebut sebagai antara calon utama bagi menggantikan bapanya yang memegang jawatan Presiden hampir lapan tahun sebelum menjadi pemimpin tertinggi Iran selama 36 tahun.

Ali Khamenei dilaporkan terbunuh dalam serangan ke atas kediamannya di Tehran pada 28 Februari lalu.

Pelantikan Mojtaba dilihat memberi isyarat bahawa puak konservatif garis keras dalam struktur pemerintahan Iran masih mengekalkan pengaruh besar, sekali gus berpotensi menandakan kerajaan negara itu tidak berminat untuk mengadakan rundingan atau perjanjian dalam masa terdekat.

Isu penggantian kepimpinan tidak pernah dibincangkan secara terbuka oleh Mojtaba kerana ia dianggap sensitif, memandangkan pelantikannya berpotensi mewujudkan dinasti politik yang mengingatkan kepada pemerintahan monarki Dinasti Pahlavi sebelum tercetusnya Revolusi Islam Iran 1979.

Sepanjang ini, Mojtaba juga dikenali sebagai tokoh yang lebih gemar berprofil rendah dan jarang tampil memberikan syarahan umum, khutbah Jumaat atau ucapan politik sehingga ramai rakyat Iran sendiri tidak pernah mendengar suaranya walaupun beliau telah lama dilihat sebagai figura yang semakin menonjol dalam sistem teokrasi negara itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button