Polis tahan lelaki acu parang samun pekerja stesen minyak
TEMERLOH – Seorang lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes samun bersenjata yang berlaku di sebuah stesen minyak di Kerdau, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahrun berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7.30 malam di stesen minyak BHP Kampung Desa Murni, Kerdau.
Menurutnya, ketika insiden itu seorang penjaga kaunter didatangi lelaki tidak dikenali yang memakai pelitup muka.
“Suspek kemudiannya mengeluarkan sebilah parang dan mengacukan senjata tersebut ke arah mangsa sebelum mengarahkan mangsa memasukkan semua wang tunai dalam laci kaunter ke dalam beg galas miliknya.
“Selepas itu suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Proton Persona yang tidak mempunyai nombor pendaftaran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa menganggarkan kerugian kira-kira RM2,000 susulan kejadian berkenaan.
Menurutnya, hasil maklumat dan risikan, kira-kira pukul 4.15 pagi semalam, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh menjalankan serbuan di sekitar daerah ini sebelum menahan seorang lelaki berusia 42 tahun.
“Dalam operasi itu, polis turut merampas beberapa barangan dipercayai berkaitan kes termasuk sebuah motosikal Yamaha 135LC, sebuah kereta Proton Persona, beberapa helai pakaian, pisau dan parang, topi keledar, topi, pelitup muka serta sejumlah wang tunai yang disyaki hasil samun,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







