Trump dakwa Iran lumpuh, Tehran jadi ‘bandar hantu’ selepas dibedil bertalu-talu
TEHRAN – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa Iran kini lumpuh sepenuhnya dan Tehran bertukar menjadi ‘bandar hantu’ selepas dibedil tanpa henti sejak Sabtu lalu.
Trump turut mendakwa sistem pertahanan udara dan laut Iran sudah lenyap sepenuhnya manakala kebanyakan pemimpin kanan negara itu termasuk pemimpin tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei terbunuh dalam gelombang serangan awal.
Kelmarin, tentera Israel dan AS terus melancarkan serangan ke atas pelbagai sasaran di seluruh Iran sekali gus mencetuskan tindak balas balas dari Tehran di sekitar wilayah Teluk.

Ketegangan yang semakin merebak ke Lubnan itu turut menggegarkan pasaran global dan melonjakkan harga minyak dunia.
Bercakap kepada pemberita, Trump berkata tentera AS telah menyerang ‘pelbagai sasaran tentera laut dan udara Iran’ sambil menegaskan bahawa ‘hampir segalanya telah dilumpuhkan’.
Beliau mempertahankan keputusan melancarkan serangan itu dengan menyatakan ia dibuat berdasarkan ‘firasat’ bahawa Iran akan bertindak agresif selepas rundingan berhubung program nuklear negara itu terhenti.
BACA JUGA:
AS dakwa serang hampir 2,000 sasaran di Iran, operasi ketenteraan berterusan 24 jam sehari
Iran tuduh AS sebar ‘pembohongan demi pembohongan’ isu nuklear, kecam serangan sekolah di Minab
Sebagai tindak balas, dron Iran dilaporkan menyerang kedutaan AS di Arab Saudi selepas sebelum ini menyasarkan misi diplomatik sama di Kuwait.
Menurut laporan berita antarabangsa, Washington telah menutup kedua-dua kedutaan berkenaan termasuk kedutaannya di Lubnan, selain mengarahkan kakitangan bukan kecemasan serta ahli keluarga mereka meninggalkan sebahagian besar wilayah Asia Barat.
Dalam pada itu, sumber yang mengetahui pelan ketenteraan Israel memberitahu bahawa kempen serangan itu dirancang berlangsung selama dua minggu, namun senarai sasaran dicapai lebih cepat daripada jangkaan.
Trump sebelum ini memaklumkan unjuran awal AS menjangkakan operasi berkenaan mungkin berlanjutan antara empat hingga lima minggu.
Apabila ditanya siapa yang sesuai menerajui Iran selepas ini, Trump menjawab secara sinis: “Kebanyakan orang yang kami fikirkan sudah mati.”
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















