Iran tuduh AS sebar ‘pembohongan demi pembohongan’ isu nuklear, kecam serangan sekolah di Minab
TEHRAN – Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei semalam mengecam Amerika Syarikat (AS) kerana didakwa berterusan menyebarkan ‘pembohongan demi pembohongan’ berhubung tuduhan bahawa Tehran hampir membangunkan bom nuklear, susulan serangan bersama AS-Israel ke atas Iran hujung minggu lalu.
Beliau mempersoalkan kenyataan wakil khas Amerika Syarikat, Steve Witkoff yang sebelum ini mendakwa Iran hanya memerlukan masa seminggu untuk menghasilkan bahan mencukupi bagi membina senjata nuklear.
“Bagaimana Encik Witkoff boleh datang minggu lalu dan mengatakan Iran hanya perlukan seminggu untuk menghasilkan bahan bagi membina bom nuklear?
“Pembohongan demi pembohongan, penipuan demi penipuan. Inilah model diplomasi Amerika pada era ini,” katanya kepada pemberita, memetik laporan Viory.
Baqaei turut menyentuh laporan serangan ke atas sebuah sekolah di Minab, selatan Iran, yang menurut media tempatan mengorbankan ratusan orang termasuk kanak-kanak.
“Mereka mensyahidkan anak-anak kami di Minab dengan dua peluru berpandu. Mengapa dua? Hari ini tempat persemadian abadi sedang disediakan untuk anak-anak kami di Minab, 171 malaikat Iran yang indah,” katanya lagi.

Terdahulu, media Iran melaporkan seramai 165 orang termasuk kanak-kanak, terbunuh dalam serangan ke atas Sekolah Rendah Perempuan Shajareh Tayyebeh pada Sabtu.
BACA JUGA:
UNESCO kecam serangan udara AS-Israel ke atas sekolah di Iran
Tehran menyalahkan AS dan Israel atas kejadian itu. Bagaimanapun, Israel mendakwa tidak mengetahui sebarang operasi di kawasan berkenaan, manakala AS menyatakan pihaknya sedang menyiasat laporan tersebut.
Baqaei turut mempersoalkan peranan masyarakat antarabangsa, khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Majlis Keselamatan PBB.
“Piagam PBB seolah-olah sudah tidak wujud. Pencerobohan rejim terhadap Iran menandakan permulaan kepada pengakhiran sistem antarabangsa. Di mana Setiausaha Agung PBB?” katanya lagi.
Sabtu lalu, AS dan Israel melancarkan serangan ke atas sasaran di Iran.
Tehran menyatakan ia bertindak balas dengan melancarkan serangan terhadap Israel dan aset AS di rantau Teluk, dengan letupan dilaporkan di beberapa negara sekitar Asia Barat.
Dalam perkembangan paling dramatik, pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei disahkan terbunuh dalam satu serangan pada Sabtu sekali gus mencetuskan ketegangan luar biasa di rantau itu.
Krisis tersebut tercetus selepas beberapa pusingan rundingan antara Washington dan Tehran berkaitan program nuklear Iran yang sebelum ini bertujuan meredakan ketegangan.
Bagaimanapun, siri serangan terbaharu itu dilihat memusnahkan usaha diplomatik tersebut dan meningkatkan risiko konflik berskala besar di Asia Barat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















