POLITIK

Muhyiddin dakwa Hamzah buat rundingan sulit dengan Zahid, langgar disiplin parti

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa bekas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengadakan rundingan sulit dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tanpa pengetahuan dan mandat parti.

Menurut Muhyiddin, tindakan itu antara faktor utama yang membawa kepada pemecatan Hamzah selepas dibawa ke Lembaga Disiplin parti susulan pelbagai dakwaan pelanggaran disiplin.

Beliau berkata, pertemuan tersebut terbongkar selepas Zahid dalam satu perhimpunan menyatakan beliau telah berjumpa dan berunding dengan PAS serta BERSATU, yang kemudiannya dikaitkan dengan gerakan tertentu termasuk ‘Bangkok Move’.

“Saya tanya dalam kumpulan (chat), siapa jumpa Zahid? Tak ada jawapan. Tetapi saya ada maklumat sahih bahawa Hamzah yang berjumpa Zahid. Dalam parti kita ada disiplin, ini isu besar,” katanya dalam wawancara khas bersama media tempatan di ibu pejabat BERSATU semalam.

Muhyiddin menegaskan, tindakan disiplin terhadap Hamzah bukan sekadar soal perbezaan pandangan atau cabaran terhadap kepimpinannya, sebaliknya membabitkan isu lebih besar termasuk pelanggaran perlembagaan parti dan usaha yang boleh menimbulkan ketidaktenteraman dalam organisasi.

Beliau berkata, sebarang rundingan politik atau pembentukan gabungan baharu mesti mendapat mandat dan kelulusan pimpinan tertinggi parti, bukan dilakukan secara bersendirian.

“Dia tak boleh memandai-mandai ikut kepala sendiri tanpa kebenaran atau mandat majoriti. Kalau untuk kebaikan parti, kenapa tidak maklumkan kepada saya sebagai Presiden? Ini bukan perkara kecil,” katanya memetik laporan Sinar Online.

Muhyiddin turut mendakwa wujud perancangan membentuk gabungan baharu dengan pembahagian jawatan tertentu termasuk Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri, namun enggan mengulas lanjut mengenainya.

“Itu satu perkara sahaja sudah sangat serius, belum campur yang lain-lain lagi. Sebabnya munasabah dan Lembaga Disiplin sudah bertindak berdasarkan maklumat yang diperoleh,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button