Juruteknik bakal didakwa lagi kes seksual kanak-kanak
JOHOR BAHRU – Seorang juruteknik yang sebelum ini mengaku bersalah atas pertuduhan memperdagangkan tiga bayi baru lahir bakal berdepan pertuduhan baharu membabitkan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.
Tertuduh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan memperdagangkan dua bayi perempuan dan seorang bayi lelaki, dan kini menunggu tarikh hukuman.
Sumber memaklumkan, pihak pendakwaan sedang melengkapkan pertuduhan di bawah Sexual Offences Against Children Act 2017 susulan siasatan lanjut yang mendapati suspek dipercayai merogol, meliwat dan melakukan gangguan seksual terhadap lebih 10 kanak-kanak, termasuk bayi berusia lima hari.
Difahamkan, siasatan turut menjurus kepada penghasilan dan pengedaran bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) menerusi platform dalam talian termasuk Telegram serta rangkaian gelap.
Pada 19 Julai tahun lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M. Kumar dilaporkan berkata, suspek dipercayai dalang utama sindiket pedofilia yang menyasarkan bayi dan kanak-kanak kecil.
Suspek diberkas menerusi Op Pedo yang digerakkan Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) dengan kerjasama pasukan Malaysia Internet Crime Against Children serta agensi penguat kuasa antarabangsa.
Kegiatan suspek terbongkar selepas seorang warga Amerika Syarikat menyalurkan maklumat kepada Federal Bureau of Investigation berhubung penjualan video penderaan bayi secara dalam talian sebelum maklumat itu disalurkan kepada pihak berkuasa Malaysia.
Siasatan mendapati suspek menawarkan bayaran antara RM1,500 hingga RM3,500 kepada ibu tunggal atau wanita tidak berkahwin, termasuk menanggung kos bersalin, kononnya untuk tujuan pengambilan anak angkat.
Kebanyakan mangsa dipercayai anak kepada wanita warga asing, khususnya dari Indonesia.
Kira-kira 15 kanak-kanak yang dipercayai menjadi mangsa kini ditempatkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat Johor.
Sumber turut memaklumkan, tindakan mendakwa tertuduh terlebih dahulu di bawah Anti-Trafficking in Persons and Anti-Smuggling of Migrants Act 2007 adalah langkah strategik bagi memastikan sabitan awal sementara proses analisis forensik dan pengesahan mangsa lain diselesaikan.
Jika sabit kesalahan bagi pertuduhan baharu itu, tertuduh berdepan hukuman penjara panjang dan sebatan mandatori mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





