BERITA SEMASADALAM NEGERI

Orang Asli miliki potensi besar dalam pertanian, penternakan – Mohamad

KUALA LUMPUR – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan masyarakat Orang Asli mempunyai potensi besar untuk maju dalam bidang pertanian dan penternakan sekiranya diberi ruang, peluang serta bimbingan yang sewajarnya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Persatuan Usahawan Orang Asli dalam satu pertemuan yang disifatkannya sebagai sederhana tetapi penuh bermakna.

Menurut beliau, ramai dalam kalangan masyarakat Orang Asli rajin berusaha dan mempunyai minat mendalam dalam sektor agromakanan, namun memerlukan sokongan berterusan agar tidak bergerak secara bersendirian.

“Di pihak kementerian (KPKM), kita membuka seluas-luasnya pintu bantuan dan tunjuk ajar, daripada aspek latihan, penggunaan teknologi, pemasaran hasil sehinggalah kepada sokongan pembangunan projek.

“Kita tidak mahu mereka bergerak sendiri tanpa sokongan. Kita mahu mereka bangkit bersama,” katanya.

Mohamad menambah, sektor pertanian dan penternakan bukan sekadar sumber pekerjaan, malah mampu menjadi pemangkin perubahan kehidupan keluarga jika diurus dengan baik dan berdaya saing.

“Apabila hasil bertambah dan pendapatan meningkat, insya-Allah taraf hidup juga akan menjadi lebih baik,” ujarnya.

Beliau yakin dengan bimbingan yang tepat serta peluang yang adil, usahawan Orang Asli mampu melangkah lebih jauh dan bersaing dalam arus pembangunan ekonomi negara.

Tegasnya, KPKM akan terus komited membantu komuniti tersebut bukan sahaja untuk jangka masa pendek, tetapi secara berterusan demi memastikan limpahan rezeki dan manfaat dapat dirasai seluruh keluarga serta komuniti Orang Asli.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button