AGAMABERITA SEMASA

Kenyataan tak boleh batalkan solat walau terdapat jemaah terancam nyawa jahil – Mufti

KUALA LUMPUR – Kenyataan solat tidak boleh dibatalkan walaupun terdapat jemaah rebah dan terancam nyawanya disifatkan sebagai satu kejahilan terhadap Syariah dan maqasid Syariah.

Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil menegaskan, pandangan yang menyatakan solat lebih penting daripada menyelamatkan nyawa adalah tidak tepat serta bercanggah dengan pandangan ulama muktabar.

Menurut beliau, para ulama khususnya dalam mazhab Syafie seperti Imam Al-Ramli menerusi karya Fathu al-Rahmanserta Al-Izz ibn Abd al-Salam dalam al-Qawaid mengharuskan seseorang membatalkan solat bagi menyelamatkan nyawa yang maksum seperti orang Islam.

“Ini kerana nyawa tidak boleh diganti jika kehilanganya berlainan dengan solat boleh diulang atau diqada bahkan mereka mewajibkan memutuskan solat jika benar benar akan kehilangan nyawa dan berdosa jika tidak menyelamatkan orang tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menjelaskan dari sudut maqasid, terdapat kekeliruan dalam memahami keadaan apabila agama perlu didahulukan ke atas nyawa dan sebaliknya.

Katanya, apabila berhadapan ancaman bersifat umum seperti musuh menyerang negara, maka agama didahulukan ke atas nyawa.

Bagaimanapun, apabila ibadah bersifat syiar dan individu seperti solat atau puasa bertembung dengan nyawa, maka ketika itu nyawa didahulukan kerana melihat kepada kesannya.

Tambah beliau, keadaan tersebut bukan bermakna nyawa lebih mulia daripada agama, sebaliknya ia termasuk dalam tertib waktu dan tindakan. Akhirnya, individu yang diselamatkan itu akan terus menunaikan hak agama.

“Insyallah saya akan menerangkan lebih terperinci dalam Tinta Mufti untuk mendapat manfaat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan agar fatwa dan irsyad tidak dibahaskan oleh orang awam, sebaliknya diserahkan kepada ahlinya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button