BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Bayaran ganti rugi kes fitnah penceramah terhadap KJ dikurangkan kepada RM830,000

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini mengurangkan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar penceramah, Rasyiq Alwi kepada bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin kepada RM830,000 berhubung kenyataan fitnah berkaitan status vaksinasi ahli politik itu.

Keputusan tersebut dibuat panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Datuk Zaini Mazlan selepas membenarkan sebahagian rayuan difailkan Rasyiq terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Malaya tahun lalu.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rasyiq membayar RM2 juta sebagai ganti rugi am, selain RM250,000 bagi ganti rugi teruk dan RM250,000 lagi sebagai ganti rugi teladan.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan menurunkan ganti rugi am kepada RM500,000 dan ganti rugi teladan kepada RM80,000, manakala ganti rugi teruk sebanyak RM250,000 dikekalkan, memetik laporan FMT.

Mahkamah turut mengekalkan perintah supaya Rasyiq membayar faedah lima peratus setahun ke atas jumlah penghakiman bermula dari tarikh keputusan sehingga selesai, selain kos sebanyak RM50,000 kepada pihak responden.

Dalam penghakiman dibacakan, Zaini yang bersidang bersama Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin dan Datuk Ahmad Shahrir Salleh, bersetuju bahawa kenyataan dibuat perayu bersifat serius serta membayangkan unsur ketidakjujuran, penipuan dan pemalsuan rekod vaksinasi oleh Khairy.

“Kami mendapati terdapat lapan penerbitan berasingan dan setiap satu daripadanya boleh diambil tindakan secara tersendiri. Responden berhak menerima ganti rugi bagi setiap penerbitan,” katanya.

Namun jelas beliau, penilaian kuantum ganti rugi perlu mengambil kira faktor munasabah dan tidak bertujuan memperkayakan plaintif.

“Pernah wujud satu tempoh mahkamah menganugerahkan ganti rugi berjuta-juta ringgit dalam kes fitnah. Era itu telah berakhir dan kami tidak mahu melihat ia berulang. Jumlah RM2 juta bagi ganti rugi am tidak selaras dengan trend kehakiman semasa,” tegasnya.

Menyentuh ganti rugi teruk, mahkamah mengambil kira kedudukan Khairy sebagai Menteri Kesihatan ketika negara berdepan pandemik Covid-19 pada 2021.

“Fitnah tersebut bukan sahaja mencemarkan reputasi responden, malah berpotensi menjejaskan kepentingan awam kerana ia mungkin mempengaruhi sesetengah pihak untuk menolak vaksin,” katanya.

Mahkamah juga berpandangan permohonan maaf dikemukakan perayu bersifat sinis dan tidak menunjukkan penyesalan sebenar, justeru ganti rugi teruk RM250,000 wajar dikekalkan.

Berhubung ganti rugi teladan, Zaini menjelaskan ia bersifat punitif dan hanya diberikan dalam keadaan luar biasa, khususnya apabila salah laku dilakukan demi manfaat material atau keuntungan tertentu.

Panel turut mengambil maklum perubahan landskap fitnah susulan perkembangan media sosial seperti Instagram dan Facebook yang membolehkan penyebaran maklumat secara pantas dan meluas.

Menurut mahkamah, sebagai penceramah agama yang menikmati kepercayaan masyarakat, Rasyiq sepatutnya memikul tanggungjawab lebih tinggi untuk memastikan kesahihan kenyataannya sebelum diterbitkan.

“Dengan memilih untuk menyiarkan dakwaan tidak disahkan dan memfitnah, perayu telah menyalahgunakan kedudukan autoriti moralnya serta mengeksploitasi kepercayaan yang diberikan masyarakat,” katanya.

Khairy memfailkan saman pada 2022 selepas mendakwa beliau difitnah berhubung status vaksinasi. Perbicaraan di Mahkamah Tinggi sebelum ini diteruskan tanpa kehadiran Rasyiq walaupun tarikh pendengaran telah dimaklumkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button