KUALA LUMPUR – Keluarga mendiang Altantuya Shaariibuu memulangkan semula ganti rugi berjumlah lebih RM4.8 juta termasuk faedah kepada Kerajaan Malaysia, susulan keputusan Mahkamah Rayuan yang melepaskan kerajaan daripada liabiliti berkaitan kematian model warga Mongolia itu pada 2006.
Peguam yang mewakili keluarga berkenaan, Sangeet Kaur Deo berkata, keseluruhan jumlah tersebut sebelum ini disimpan dalam akaun pemegang amanah dan tidak pernah disentuh, selaras dengan perintah mahkamah.
Menurutnya, bayaran itu dibuat berdasarkan perintah penangguhan bersyarat Mahkamah Tinggi Shah Alam dan merangkumi jumlah penuh penghakiman serta semua faedah terkumpul.
“Kesemua jumlah yang dibayar sebelum ini telah dipulangkan sepenuhnya kepada Kerajaan Malaysia semalam,” katanya seperti dilaporkan Bernama semalam.
Sangeet berkata, pemulangan wang yang sama turut melibatkan penganalisis politik, Abdul Razak Baginda, mengikut potongan yang diarahkan oleh Mahkamah Rayuan.
Beliau menegaskan, seperti yang sering dinyatakan oleh bapa Altantuya, kes tersebut tidak pernah berkisar soal wang semata-mata.
“Apa yang dicari ialah jawapan, kebertanggungjawaban dan pengakuan. Pemulangan wang secara segera dan sepenuhnya, termasuk faedah, mencerminkan pendirian itu dengan jelas,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi pada 2025 mengarahkan Kerajaan Malaysia dan Abdul Razak masing-masing membayar RM4.7 juta kepada keluarga Altantuya serta mendepositkan jumlah itu sementara menunggu keputusan rayuan.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan memutuskan kerajaan tidak bertanggungjawab secara vikarius terhadap kematian Altantuya kerana perbuatan dua bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri, dilakukan di luar skop tugas mereka.
Kes saman tersebut difailkan oleh ibu bapa Altantuya bersama cucu mereka pada 4 Jun 2007, menuntut RM100 juta atas alasan kematian mangsa menyebabkan kejutan mental dan trauma psikologi.
Pada 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan saman berkenaan dan mengarahkan Azilah, Sirul Azhar, Abdul Razak serta kerajaan membayar ganti rugi RM5 juta secara bersama, sebelum kerajaan dan Abdul Razak mengemukakan rayuan.
Azilah dan Sirul Azhar disabitkan kesalahan membunuh Altantuya pada 2009 bagi kejadian di Shah Alam pada 19 dan 20 Oktober 2006, manakala Mahkamah Persekutuan pada 2015 mengekalkan sabitan serta hukuman mati terhadap kedua-duanya selepas mengetepikan keputusan pembebasan oleh Mahkamah Rayuan sebelum itu.