BERITA SEMASALUAR NEGARA

6 maut, puluhan cedera dalam rempuhan kuil di India

HARIDWAR – Sekurang-kurangnya enam maut manakala lebih 30 lagi cedera dalam satu insiden rempuhan yang berlaku di Kuil Mansa Devi di Haridwar, Uttarakhand, hari ini.

Memetik laporan The Week, insiden berlaku pada pukul 9 pagi apabila orang ramai dikejutkan dengan khabar angin mengenai kejadian renjatan elektrik di kawasan tangga menuju ke kuil tersebut.

Khabar angin berkenaan menyebabkan para penganut agama Hindu mula panik dan bertempiaran lari.

Ketua Polis Daerah Haridwar, Pramendra Singh Dobal berkata, seramai 35 mangsa dikejarkan ke hospital dan enam daripadanya disahkan meninggal dunia.

“Sebaik menerima maklumat, pasukan Polis, Bomba dan Pasukan Tindak Balas Bencana Negeri (SDRF) segera digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat,” katanya dalam satu kenyataan kepada media tempatan.

Ketua Menteri Uttarakhand, Pushkar Singh Dhami dalam kenyataan memaklumkan satu siasatan peringkat majistret telah diarahkan bagi menyiasat punca kejadian dan mengenal pasti pihak yang menyebarkan khabar angin sehingga mencetuskan panik.

“Satu rempuhan berlaku pada waktu pagi akibat penyebaran khabar angin. Siasatan telah dimulakan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Rakaman video dari hospital turut memaparkan ahli keluarga mangsa berkumpul dalam keadaan cemas menanti perkembangan terkini.

Tambah Dhami, beliau sedang memantau situasi secara langsung dan berhubung rapat dengan pihak pentadbiran tempatan.

“Saya berasa sedih dengan insiden itu. Saya berdoa kepada Mata Rani agar semua jemaah dilindungi,” katanya.

Kuil Mansa Devi yang terletak di puncak Bukit Shivalik pada ketinggian lebih 500 kaki merupakan salah satu daripada lima tapak suci atau Panch Tirthas di Haridwar dan menjadi tumpuan ribuan penganut Hindu saban tahun.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button