BERITA SEMASA

4,000 peserta sertai siri Kuliah Engineers in Society anjuran LJM

KUALA LUMPUR – Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) mencatat penyertaan hampir 4,000 pelajar kejuruteraan dan ahli akademik menerusi penganjuran siri Kuliah Engineers in Society (EIS) yang berlangsung secara webinar pada 22 dan hari ini.

LJM berkata, program anjuran Jawatankuasa National Undergraduate Engineering Talent (NUET) itu disiarkan melalui Zoom dan YouTube Live, sekali gus menjadikannya antara penglibatan paling besar LJM bersama institusi pengajian tinggi setakat ini.

“Sambutan luar biasa itu juga menonjolkan minat tinggi generasi muda terhadap bidang kejuruteraan serta kesedaran mereka mengenai peranan sosial jurutera.

“Siri EIS 2025 memberi tumpuan kepada pemahaman lebih mendalam mengenai profesion kejuruteraan, merangkumi aspek etika, tanggungjawab profesional serta laluan menjadi jurutera berdaftar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Empat modul utama dibentangkan iaitu Kerjaya Kejuruteraan, Amalan Kejuruteraan di Malaysia, Etika Kejuruteraan dan Jurutera dan Dunia, yang menghubungkan teori akademik dengan keperluan sebenar industri.

Pengerusi Jawatankuasa NUET, Datuk Ir Dr Rahim Hashim berkata, jumlah penyertaan hampir 4,000 itu membuktikan minat generasi muda terhadap profesion kejuruteraan semakin kukuh.

“Siri kuliah ini direka untuk menunjukkan bahawa kejuruteraan bukan sekadar kepakaran teknikal.

“Ia turut menuntut tanggungjawab, akauntabiliti serta kesedaran terhadap impak keputusan kejuruteraan kepada masyarakat dan alam sekitar.

“Kita amat berbesar hati melihat penyertaan yang begitu tinggi,” katanya lagi.

Menurut LJM, beberapa inisiatif susulan turut dirangka termasuk Sesi Ceramah Industri, pendaftaran Panel Penasihat Industri, serta Pertandingan Inovasi untuk pelajar Projek Tahun Akhir (FYP) dan Projek Reka Bentuk Bersepadu (IDP).

Langkah itu bertujuan memberi pendedahan praktikal kepada pelajar selain mengukuhkan interaksi antara universiti dan industri.

LJM turut berharap program seumpama itu dapat menggalakkan lebih ramai graduan kekal dalam profesion kejuruteraan, selaras dengan permintaan tenaga kerja negara.

Lembaga itu menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama dengan institusi pengajian tinggi serta rakan industri bagi memastikan bakat kejuruteraan Malaysia bersedia menghadapi cabaran masa hadapan dan kekal berdaya saing di peringkat global.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button