BERITA SEMASADALAM NEGERI

36 pelajar, pensyarah UUM terkandas dalam banjir Hatyai berjaya dibawa pulang

KUALA LUMPUR – Seramai 36 pelajar dan dua pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) yang sebelum ini terkandas di Hatyai, Thailand akibat banjir telah berjaya diselamatkan, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Beliau berkata, semua mereka kini berada dalam keadaan selamat dan akan ditempatkan sementara sebelum proses membawa pulang ke Malaysia dilaksanakan.

Dalam kenyataannya, Zambry merakamkan penghargaan kepada Kementerian Luar Negeri, Kedutaan Besar Malaysia di Thailand, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, pihak berkuasa Thailand, pasukan penyelamat tempatan serta pengurusan UUM atas koordinasi yang disifatkan amat berkesan dalam memastikan operasi penyelamatan berjalan lancar.

“Kerjasama pelbagai pihak membolehkan operasi ini disempurnakan dengan selamat dan teratur. Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat,” katanya.

Beliau turut mendoakan agar segala urusan membawa pulang kumpulan berkenaan ke tanah air dipermudahkan.

Banjir besar yang melanda Hatyai sejak beberapa hari lalu menyebabkan ribuan rakyat Malaysia terkandas di hotel dan tempat penginapan bandar pelancongan itu tanpa bekalan makanan dan elektrik.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam kenyataan hari ini memberitahu jumlah rakyat Malaysia yang masih belum diselamatkan dalam banjir di daerah itu kini dianggarkan kurang dari 500 orang dengan jaminan usaha berterusan dilakukan oleh kerajaan untuk membawa mereka pulang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button