
350 penghuni rumah panjang hilang tempat tinggal
BINTULU – Seramai 350 penghuni dari 23 keluarga hilang tempat tinggal apabila rumah panjang Tuai Rumah Nora Bulin di Sungai Teban Labang Jalan Bintulu-Bakun, dekat sini musnah dalam kebakaran, petang tadi.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.32 petang tadi.
“Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dan BBP Samalaju terus digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati api sedang marak memusnahkan keseluruhan struktur satu blok rumah panjang jenis tidak kekal itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Anggota kemudiannya bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan dua aliran air yang mana sumber air diperoleh dari air parit berdekatan.
Beliau kemudiannya menambah, anggota bomba mengambil masa hampir dua jam bagi memadam kebakaran yang mana api berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 5 petang.
“Anggota bomba turut berjaya menyelamatkan sebuah blok rumah panjang yang terletak bertentangan blok yang terbakar dari musnah terbakar,” tambahnya.
Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa kerana semua penghuni rumah panjang tersebut berjaya menyelamatkan diri.
Punca kebakaran serta anggaran kerugian yang dialami penghuni masih lagi dalam siasatan.
“Buat masa ini, semua mangsa yang terjejas tinggal sementara di rumah sanak saudara berdekatan sementara menunggu bantuan susulan tiba,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








