LUAR NEGARA

10 lelaki bersenjata M16 rompak barang kemas RM3.11 juta

SUNGAI GOLOK – Suasana panik tercetus di sebuah pasar raya di sini semalam apabila sekumpulan 10 lelaki bersenjata raifal M16 dan AK104 melarikan barang kemas bernilai hampir RM3.11 juta.

Kejadian berlaku sekitar pukul 6.30 petang ketika orang ramai sedang membeli-belah di pasar raya berkenaan.

Menurut jurucakap polis, kumpulan itu menaiki dua trak pikap sebelum lapan daripada mereka yang berpakaian serba hitam dan bertopeng, memasuki premis melalui pintu dua.

Mereka kemudian menahan pengawal keselamatan serta mengugut pekerja kedai emas sebelum memecahkan cermin pameran dan kotak barangan berharga untuk melarikan hasil rompakan.

Dalam usaha melarikan diri, kumpulan terbabit menabur paku dan meninggalkan tong gas seberat 15 kilogram yang dipercayai dipasang dengan bom di laluan keluar.

Lebih mencemaskan, salah seorang suspek melepaskan tembakan menggunakan raifal M16 ke arah seorang sarjan mejar tentera yang berada berhampiran lokasi.

“Tembakan itu mengenai paha, bahu dan pipi anggota tentera berkenaan. Beliau dikejarkan ke Hospital Sungai Golok dan kini dilaporkan stabil,” kata jurucakap itu, memetik laporan Kosmo! Online.

Ekoran kejadian, pihak berkuasa Thailand menutup beberapa laluan utama sekitar Sungai Golok bagi memburu kumpulan terbabit.

Tiada orang awam dilaporkan cedera, namun seorang pengawal keselamatan mengalami trauma selepas dijadikan tebusan seketika oleh suspek.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button