AGAMABERITA SEMASA

ZAYAN radio rasmi Karnival Mahabbah@RMA Johor Bahru

JOHOR BAHRU – Stesen radio ZAYAN diumumkan sebagai radio rasmi bagi Karnival Mahabbah@RMA Johor Bahru yang berlangsung selama tiga hari sehingga esok di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Datuk Onn, di sini.

Karnival anjuran bersama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Waqaf An-Nur itu bertujuan memperkukuh silaturahim serta menyemarakkan nilai Islam melalui pelbagai aktiviti berbentuk kerohanian, keilmuan dan kekeluargaan.

Sepanjang penganjuran, pengunjung berpeluang menyertai pelbagai acara menarik termasuk siaran luar ZAYAN, Malam Gemilang Waqaf An-Nur X Radio ZAYAN dan Malam Sambutan 25 Tahun Waqaf An-Nur yang menampilkan persembahan khas serta perkongsian tokoh jemputan.

Barisan penyampai popular ZAYAN seperti Faisal Ismail, Anas Tahir, Lin Ariffin dan Farhira turut hadir memeriahkan karnival serta berinteraksi dengan pendengar melalui siaran langsung dari tapak acara.

Pengurus Jenama ZAYAN, Wan Syahrul Amry Wan Mansor berkata, penglibatan stesen itu dalam acara berkenaan membuktikan komitmen ZAYAN dalam mendekati komuniti dan memperkukuh jenama sebagai radio gaya hidup Muslim kontemporari.

“Penyertaan ini bukan sekadar kolaborasi media, tetapi satu usaha bersama untuk menghubungkan hati-hati manusia melalui kasih sayang, kebaikan dan kemanusiaan iaitu nilai yang menjadi asas kepada dakwah dan pembangunan ummah,” katanya.

Beliau menambah, karnival berkenaan menjadi wadah terbaik untuk menyebarkan mesej positif serta memperkukuh semangat kebersamaan antara masyarakat dan pendengar khususnya di Johor dan kawasan sekitarnya.

“Kami berharap kehadiran penyampai ZAYAN akan membawa suasana ceria, inspirasi dan nilai ukhuwwah sejajar dengan semangat ‘Mahabbah’ yang menjadi tema utama karnival ini,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Waqaf An-Nur, Bukhari Abd Rahman turut menyampaikan penghargaan kepada ZAYAN atas sokongan sebagai rakan media rasmi.

“Kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh promosi jenama Waqaf An-Nur, tetapi turut menjadi platform memperluas kefahaman serta membudayakan amalan berwakaf dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Orang ramai dijemput hadir memeriahkan Karnival Mahabbah@RMA Johor Bahru dan mengikuti perkembangan aktiviti melalui laman media sosial rasmi ZAYAN atau aplikasi ZAYAN yang boleh dimuat turun di Google Play, App Store dan Huawei App Gallery.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button