BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

Hampir 1,000 pengunjung daftar Wira Internet Selamat di bazar Ramadan

KUALA LUMPUR – Hampir 1,000 pengunjung mendaftar sebagai Wira Internet Selamat menerusi Program Kempen Internet Selamat@Bazar Ramadan yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

MCMC dalam kenyataan memaklumkan, program yang dilaksanakan secara serentak di 19 bazar Ramadan di seluruh negara itu bertujuan memperkasakan masyarakat dengan pengetahuan serta amalan penggunaan internet secara bertanggungjawab dalam kehidupan seharian.

Menurut kenyataan itu, para pengunjung dilihat aktif berinteraksi di reruai kempen dengan mendapatkan maklumat berkaitan keselamatan siber selain menyertai sesi penerangan serta mengambil bahan informasi yang disediakan.

“Sambutan yang positif ini mencerminkan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan keselamatan digital, lebih-lebih lagi ketika aktiviti dalam talian seperti pembelian dan urusan kewangan yang semakin rancak sepanjang bulan Ramadan.

“Perkembangan itu sekali gus memperkukuh matlamat kempen dalam memperkasa orang ramai dengan pengetahuan serta amalan penggunaan internet secara selamat dalam kehidupan seharian,” menurut kenyataan itu semalam.

Dalam program berkenaan, hampir 10,000 Kit Ramadan yang mengandungi risalah maklumat kempen, satu pek kurma, sebotol air mineral dan butang lencana telah diedarkan kepada pengunjung di 19 lokasi bazar Ramadan di seluruh negara.

Antara pengisian program termasuk sesi interaktif keselamatan internet, demonstrasi pengaktifan kawalan ibu bapa, pendedahan mengenai ancaman penipuan dalam talian, salah guna media sosial serta langkah pencegahan jenayah siber.

Kejayaan pelaksanaan program itu turut disokong oleh mobilisasi tenaga kerja MCMC di seluruh negara bersama petugas daripada Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).

Program berkenaan turut dihadiri Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil di IWK Ecopark, Pantai Dalam, manakala Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching hadir di Bazar Ramadan Temenggong di Kulai, Johor.

Selain itu, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin turut mencemar duli dan diberikan penerangan mengenai Kempen Internet Selamat ketika menghadiri program Santuni Bazar Ramadan di Bazar Ramadan Stadium Shah Alam, Seksyen 13.

MCMC menegaskan pihaknya komited memastikan persekitaran digital negara kekal selamat, berintegriti dan dipercayai selaras dengan aspirasi kerajaan untuk membangunkan ekosistem komunikasi dan multimedia yang mampan serta berdaya tahan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button