BERITA SEMASA

Wanita OKU maut, ibu cedera dalam kebakaran di Bagan Tiang

PARIT BUNTAR – Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) ditemukan maut dalam kebakaran sebuah rumah dua tingkat di Bagan Tiang awal pagi tadi, manakala ibunya yang merupakan warga emas cedera dan dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Mangsa berusia 48 tahun ditemukan rentung di dalam rumah berkenaan, sementara ibunya berusia 71 tahun mengalami kecederaan pada kedua-dua tapak kaki.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.34 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit Buntar digerakkan ke lokasi.

Kebakaran melibatkan sebuah rumah kelas B dua tingkat yang musnah kira-kira 70 peratus. Sebuah kereta jenis Proton Iriz turut mengalami kerosakan pada kadar sama.

Operasi pemadaman turut dibantu anggota dari BBP Kuala Kurau dan Pasukan Bomba Sukarela Parit Buntar dengan kekuatan keseluruhan 17 anggota serta sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT).

Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 3 pagi sebelum dipadam sepenuhnya pada pukul 6.25 pagi.

Mangsa yang cedera kemudian diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Operasi turut dipantau pegawai kanan JBPM termasuk pegawai operasi zon serta pihak Pejabat Negeri.

Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button