
Wanita dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras
PENAMPANG – Seorang wanita dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika mengharungi banjir selepas menghantar makanan kepada mangsa terperangkap dalam banjir, dekat pekan Donggongon, di sini awal pagi tadi.
Difahamkan, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 1.40 pagi ketika mangsa bersama suami sedang dalam perjalanan pulang selepas menghantar makanan kepada mangsa lain yang terperangkap akibat banjir.
Bagaimanapun, difahamkan, ketika cuba melalui kawasan banjir berhampiran Bulatan Sigah, Jalan Penampang Bypass, mangsa dikatakan dihanyutkan arus deras.
Suaminya cuba membantu dengan menarik tangan mangsa, namun arus banjir yang sangat kuat menyebabkan mangsa hanyut dan pencarian masih dijalankan oleh anggota penyelamat sehingga pagi ini.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa digerakkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selepas menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 1.45 pagi tadi.
Sementara itu, setakat pukul 8 pagi tadi, seramai 114 mangsa daripada 42 keluarga dipindahkan akibat banjir ke Dewan Pusat Kebudayaan Sabah, Penampang dan Dewan Sri Putatan.
Jumlah itu meningkat berbanding 78 mangsa pada 4 pagi tadi.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, jumlah mangsa dijangka terus bertambah berikutan masih ada mangsa dilapor terperangkap dan tidak dapat dibawa keluar malam tadi akibat arus deras, selain keadaan gelap yang menyukarkan operasi.
Difahamkan, lebih 20 kampung di sekitar daerah ini dilanda banjir, termasuk sebahagian pekan Donggongon, di sini, akibat limpahan air Sungai Moyog berikutan bacaan air yang melebihi sembilan meter, iaitu melepasi paras bahaya.
Banjir turut menjejaskan beberapa laluan utama di sekitar daerah ini dengan sekurang-kurangnya 10 lokasi termasuk di Bulatan Sigah, Jalan Penampang Bypass tidak dapat dilalui semua jenis kenderaan.
Selain banjir, beberapa kejadian tanah runtuh turut dilaporkan berlaku termasuk di laluan utama Jalan Penampang-Tambunan yang menyebabkan lalu lintas dari kedua-dua arah tidak dapat melaluinya.
Selain daerah ini, beberapa kampung di daerah Putatan, Kota Kinabalu dan Tuaran turut dilaporkan dilanda banjir.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









One Comment