BERITA SEMASA

‘Walaupun saya kalah, saya menang’ – TMJ

JOHOR BAHRU – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ) menegaskan Baginda kekal tenang, meskipun berdepan pelbagai tohmahan dan tekanan daripada pelbagai pihak.

Menurut Baginda, ramai yang tertanya-tanya bagaimana Baginda mampu kekal sedemikian rupa, namun jawapannya mudah, iaitu Baginda tidak bimbang selama prinsip serta keutamaan hidupnya terpelihara.

“Baru-baru ini ramai bertanya, bagaimana saya begitu tenang dengan semua perkara yang berlaku? Jawapan saya ialah, apa perkara paling buruk yang boleh berlaku? Saya tidak risau tentang apa-apa.

“Saya ada keutamaan dan prinsip saya sendiri yang jauh lebih penting daripada orang bercakap bukan-bukan. Hidup ini baik. Saya bersyukur. Hari seseorang boleh datang dan merampas kopi daripada tangan saya, itulah hari saya patut risau,” titah Baginda.

Tunku Mahkota Ismail bertitah, Baginda kekal berserah kepada ALLAH, sebagaimana dilakukan selama ini, meskipun berdepan pelbagai bentuk keraguan dan serangan peribadi.

“Berapa tahun mereka meragui? Berapa tahun mereka membenci? Berapa tahun dengan segala kempen memburukkan? Dan saya akhirnya tamat di atas, Menang,” ujar Baginda.

Baginda turut menzahirkan pandangan bahawa golongan ‘pembenci’ lazimnya bergerak dalam kelompok, manakala kekuatan sebenar berdiri sendiri tanpa perlu sokongan ramai.

“Fahamilah, pembenci atau mereka yang kalah bergerak berkumpulan. Hanya yang kuat berjalan sendirian. Kekuatan sebenar tidak perlukan orang ramai.

“Bila aura dan kemampuan terlalu tinggi, mereka bentuk kumpulan untuk menjatuhkan anda. Mereka benci kerana anda terus bertahan daripada perkara yang sepatutnya mematahkan anda, tetapi anda masih berdiri,” titah Baginda lagi.

Baginda bertitah, kekuatan sebegitu menakutkan golongan lemah, namun setiap cabaran adalah pembentuk legasi.

“Pada akhirnya, perkara berakhir, manusia berubah, dan hidup diteruskan. Saya tahu laluan saya tidak pernah ditakdirkan mudah. Kerana sebahagian daripada kita tidak ditakdirkan menjadi biasa.

“Kita dilahirkan untuk mencapai kecemerlangan, menjalankan tanggungjawab dan mengharungi cabaran, berulang kali. Setiap cabaran membentuk legasi,” titah Baginda.

Baginda bertitah, ketetapan ALLAH adalah sebaik-baik perancangan dan segala yang berlaku sudah pun ditentukan.

“Saya tahu ALLAH tidak akan beri semua ini hanya untuk membiarkannya mati. ALLAH sebaik-baik perancang. Setiap pertempuran dimenangi sebelum ia bermula. Walaupun saya kalah, saya Menang. Ia sudah tertulis. Ia takdir, ‘Taqdeer’,” titah Baginda.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button