BERITA SEMASADALAM NEGERI

VM2026 dilanjut sehingga hujung 2027 – TPM

PUTRAJAYA – Kerajaan bercadang melanjutkan pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) sehingga ke penghujung 2027 bagi memperkukuh strategi promosi serta meningkatkan daya saing sektor pelancongan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Induk VM2026 Kali Ke-2 yang dipengerusikannya hari ini dan akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri untuk pertimbangan lanjut.

Menurut beliau, langkah tersebut diambil bagi membolehkan Malaysia bertindak secara proaktif dalam menonjolkan negara sebagai destinasi pelancongan yang selamat, stabil dan berdaya saing di peringkat global.

“Pendekatan ini juga mengambil kira perubahan corak perjalanan pelancong serta perkembangan semasa yang memberi kesan kepada industri pelancongan dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid berkata, konflik yang tercetus di Asia Barat turut memberi impak besar kepada sektor pelancongan global, termasuk gangguan laluan penerbangan antarabangsa serta peningkatan kos perjalanan akibat kenaikan harga minyak.

Katanya, unjuran menunjukkan ketibaan pelancong ke rantau Asia Barat merosot antara 11 hingga 27 peratus, melibatkan kehilangan sehingga 38 juta pelawat dan kerugian mencecah AS$56 bilion, sekali gus memberi kesan kepada negara-negara tumpuan pelancongan di Asia dan ASEAN.

“Konflik ini juga telah mengganggu laluan penerbangan antarabangsa, meningkatkan kos perjalanan dengan kenaikan harga minyak dan kos pengangkutan.

“Keadaan ini juga telah menurunkan keyakinan pelancong, yang dijangka memberi implikasi kepada aliran pelancongan dunia dalam jangka masa terdekat,” jelasnya.

Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat berkenaan di sini bagi menyelaras pelaksanaan program serta merangka langkah merancakkan kempen VM2026 sebagai agenda nasional.

Menurutnya, kempen itu menyasarkan peningkatan pendapatan pelancongan negara, selain memperkukuh kedudukan Malaysia dalam industri pelancongan global serta menjadikannya antara penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Jawatankuasa tersebut melibatkan enam jawatankuasa kerja yang diterajui beberapa kementerian utama termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia; Kementerian Komunikasi Malaysia; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia serta Kementerian Pengangkutan Malaysia, bersama pelbagai agensi berkaitan.

“Kerajaan komited memastikan VM2026 dilaksanakan secara berkesan dan menyeluruh dengan kerjasama semua pihak bagi menarik lebih ramai pelawat, meningkatkan tempoh penginapan serta perbelanjaan pelancong,” katanya.

Tambah beliau lagi, usaha bersepadu itu penting bagi memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pilihan utama pelancong antarabangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button