JENAYAH & MAHKAMAH

Video tular papar polis tahan suspek positif dadah

KULIM – Polis mengesahkan rakaman video berdurasi 29 saat melibatkan anggotanya dan seorang lelaki yang tular di media sosial hari ini, sebenarnya membabitkan penahanan terkait kes dadah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintenden Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng berkata, dalam rakaman berkenaan, seorang suspek dilihat ditarik daripada motosikal sehingga terjatuh sebelum anggota terbabit bertindak mengasarinya.

tangkap layar
Tangkap layar video berdurasi 29 saat yang menjadi tular di mesia sosial, hari ini.

Jelas beliau, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 11 pagi tadi sewaktu anggota polis menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan Jalan Sungai Ular.

“Suspek yang cuba ditahan telah bertindak melawan dengan menendang motosikal milik anggota sebelum melarikan diri dengan menunggang secara berbahaya, termasuk melawan arus dan membahayakan pengguna jalan raya lain.

“Susulan itu, anggota polis telah melakukan pencarian sejauh kira-kira lima kilometer sebelum berjaya mengesan dan menahan suspek di hadapan sebuah kedai aksesori motosikal di Jalan Tunku Putra,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hasil pemeriksaan ke atas motosikal yang ditunggang suspek menemukan dua bungkusan plastik lutsinar yang disyaki mengandungi air ketum.

Tambahnya, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Pihak polis percaya suspek membawa kenderaan dalam keadaan pengaruh dadah kerana urin positif.

“Kenderaan yang ditunggang oleh suspek juga dibawa secara merbahaya dan boleh membawa ancaman keselamatan jalan raya kepada masyarakat sekitar,” katanya lagi.

Beliau kemudiannya memberitahu, suspek yang mempunyai satu kes rekod jenayah lampau akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kulim untuk permohonan reman bagi membantu siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, polis menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung rakaman video tular berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button