Video SOS dua peserta Sumud Nusantara sahkan penahanan oleh IDF
KUALA LUMPUR – Penyebaran video SOS dua peserta misi pelayaran Global Sumud Flotilla (GSF) rakyat Malaysia hari ini mengesahkan penahanan mereka oleh tentera Israel (IDF) dalam serbuan di perairan antarabangsa, berhampiran Greece, awal pagi tadi.
Video SOS berkenaan memaparkan dua individu iaitu Osman Zolkifli dan Dr Jihan Alya Mohd Nordin, yang sebelum itu mengikuti pelayaran di atas kapal Eros 1 menuju ke Gaza.
Mereka dipercayai dua daripada 10 peserta rakyat Malaysia yang belum diketahui nasib mereka selepas kapal-kapal GSF dipintas serta diceroboh oleh tentera rejim Zionis Israel.
Menurut kenyataan rasmi Sumud Nusantara Command Center (SNCC), kapal Eros 1 merupakan antara enam kapal yang membawa rakyat Malaysia dan kini dilaporkan gagal dihubungi selepas insiden berkenaan.
Kejadian dilaporkan berlaku antara pukul 1 pagi hingga 11 pagi waktu Malaysia di perairan berhampiran Kepulauan Crete, Greece, kira-kira 656 batu nautika dari pantai Gaza, iaitu dalam zon pelayaran antarabangsa yang sah di bawah undang-undang maritim UNCLOS.
Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Datuk Abdul Alim Araby berkata, pihaknya mengesan tindakan provokasi oleh IOF termasuk melepaskan tembakan amaran ke arah kapal delegasi selain gangguan frekuensi radio secara agresif.
“Selain itu, puluhan dron tidak dikenalpasti turut dikesan melakukan pemantauan ruang udara di sekitar flotilla ketika pencerobohan berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain Eros 1, kapal lain yang membawa rakyat Malaysia ialah Arkham III, Esplai, Bianca BCN, Freia dan Marea yang turut berdepan situasi sama.
Penyiaran video SOS merupakan bentuk komunikasi terakhir yang dilakukan setiap peserta GSF apabila diserbu oleh tentera Israel.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















