JENAYAH & MAHKAMAH

[VIDEO] Mahkamah Majistret benarkan Zamri Vinoth, Tamim Dahari direman 2 hari – Peguam

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret hari ini membenarkan permohonan polis untuk menahan dua aktivis Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH), Zamri Vinoth dan Tamim Dahari, selama dua hari bagi membantu siasatan.

Peguam, Haniff Khatri Abdulla berkata, polis sebelum itu memohon supaya Zamri dan Tamim direman selama empat hari bagi tujuan siasatan lanjut.

@malaysiatribune

Peguam, Haniff Khatri Abdulla yang turut ditahan pihak polis pada himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) di hadapan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur berkata, penganjur GARAH, Zamri Vinoth & Tamim Dahri yang direman dua hari, dijangka bebas petang esok. Video : Promedia TAJDID

♬ original sound – malaysia tribune – malaysia tribune

“Namun selepas mendengar hujahan semua pihak, mahkamah hanya membenarkan reman selama dua hari,” katanya kepada media selepas prosiding di luar ibu Pejabat Daerah Dang Wangi (IPD) di sini hari ini.

Menurut Haniff, beliau bersama pasukannya berhujah bagi pihak Zamri, manakala seorang lagi peguam, Aidil Khalid bersama pasukannya mewakili Tamim dalam prosiding berkenaan.

Tambahnya, tempoh reman itu dijangka tamat esok dan pihaknya akan memaklumkan perkembangan terkini kepada keluarga serta penyokong kedua-dua aktivis terbabit.

“Apabila tempoh reman tamat, kita akan lihat sama ada mereka dibebaskan atau tindakan lanjut diambil. Kami akan maklumkan dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Ketika diminta mengulas mengenai siasatan ke atas anak guamnya, Haniff berkata, kes disiasat di bawah tiga peruntukan undang-undang, iaitu Seksyen 4 Akta Hasutan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Tiga peruntukan ini mempunyai kesan yang hampir sama dari segi implikasi undang-undang. Buat masa ini, kita serahkan kepada proses siasatan dan tunggu perkembangan seterusnya,” katanya.

BACA JUGA:
Zamri Vinoth, Tamim Dahari direman 2 hari – Polis KL

Menurut beliau, pihaknya mengambil pendekatan untuk tidak mengulas secara terperinci mengenai siasatan bagi menghormati proses perundangan yang sedang berjalan.

“Kita tidak mahu mendahului siasatan. Polis juga sedang menjalankan tugas mereka seperti yang dimaklumkan di mahkamah,” katanya lagi.

Beliau berkata, Zamri dan Tamim kini berada dalam keadaan stabil walaupun kelihatan keletihan selepas melalui tempoh tahanan yang panjang.

“Mereka mula terlibat dalam aktiviti sejak tengah hari semalam, sebelum ditahan pada waktu malam. Mereka hanya dibawa keluar sekitar pukul 3 pagi dan berada dalam tahanan sehingga pagi ini.

“Dari segi fizikal, memang nampak penat, tetapi semangat mereka masih kuat. Mereka berada dalam keadaan baik dan tidak patah semangat,” jelasnya

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button