BERITA SEMASAPOLITIK

UMNO angkat idea musyawarah Melayu-Islam, bukan koalisi politik

KUALA LUMPUR – Cadangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mewujudkan satu kolaborasi agung melibatkan parti politik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam disifatkan sebagai wadah musyawarah dan dialog, bukan langkah ke arah pembentukan pakatan politik baharu.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, cadangan berkenaan tidak bertujuan menggugat atau menggantikan Kerajaan Perpaduan MADANI yang sedang mentadbir negara, sebaliknya menjadi ruang perbincangan matang berkaitan isu-isu kepentingan bersama orang Melayu dan umat Islam.

Menurut beliau, cadangan itu menerima sambutan positif daripada perwakilan sempena Persidangan Agung UMNO (PAU) 2025 apabila Presiden parti mengemukakan idea berkenaan secara terbuka di hadapan perwakilan.

“Perwakilan menyatakan sokongan secara jelas apabila Presiden mengemukakan cadangan ini, termasuk melalui sokongan terbuka sebanyak tiga kali di dalam dewan persidangan.

“Ia menunjukkan kesepakatan bahawa ruang perbincangan seperti ini perlu diadakan secara matang dan bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan semalam.

Azalina berkata, realiti semasa negara yang berdepan pelbagai isu sensitif termasuk berkaitan 3R iaitu agama, kaum dan institusi diraja menuntut kewujudan satu platform dialog yang jujur, terkawal dan berhemah bagi mengelakkan isu berkenaan dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Jelas beliau, perbezaan pandangan dan pendirian politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada orang Melayu untuk duduk semeja dan berbincang demi memastikan kelangsungan agama, bangsa dan negara terus terpelihara.

Dalam masa sama, beliau menegaskan UMNO memikul tanggungjawab tersebut secara serius memandangkan parti berkenaan mempunyai legitimasi, autoriti serta kedudukan dalam kerajaan untuk membawa agenda kepentingan Melayu dan Islam ke dalam kerangka pentadbiran negara secara sah, berperlembagaan dan berkesan.

Tambahnya, usaha kolaborasi itu turut membuka ruang kepada penglibatan NGO, pertubuhan masyarakat sivil (CSO) serta pelbagai pihak berkepentingan lain yang berkongsi aspirasi memperkukuh kedudukan Melayu dan Islam dalam konteks negara majmuk.

“UMNO kekal komited kepada kestabilan negara, perpaduan rakyat dan kelangsungan Kerajaan Perpaduan MADANI di samping memastikan amanah terhadap agama, bangsa dan negara terus dipelihara,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button