BERITA SEMASA

‘Tunggu kenyataan Lembaga Pengampunan’ – Fahmi

PUTRAJAYA – Semua pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung Lembaga Pengampunan dan isu pengampunan bekas perdana menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, isu berkenaan turut disentuh dalam mesyuarat Jemaah Menteri sebentar tadi.

“Kita ada bincang tapi perkara yang khusus berkaitan Lembaga Pengampunan itu akan diselaraskan oleh Lembaga Pengampunan sama ada mengenai kenyataan dan sebagainya,” kata Fahmi dalam satu sidang akhbar di kementeriannya, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan sekali lagi mengulangi bahawa semua pihak termasuk media tempatan dan luar negara harus menunggu kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Lembaga Pengampunan.

“Seperti yang rakan-rakan media semua sedia maklum, saya telah sebelum ini menyatakan bahawa kita perlu tunggu untuk kenyataan media. Maka saya minta media di dalam dan luar negara untuk kita tunggu kenyataan rasmi.

“Kita tunggu kenyataan rasmi dan ikut proses seterusnya, kalau tak nanti ia akan menimbulkan pelbagai reaksi. Bagi saya kita perlu menonjolkan profesionalisme dalam membuat pelaporan,” ujarnya.

Fahmi turut mengakui beliau ada bertemu dengan wartawan media asing, namun menafikan menjadi sumber kepada pelaporan berkenaan.

“Malangnya saya telah bertemu dengan wartawan media asing (namun) bukan saya yang menjadi sumber yang kononnya menyampaikan maklumat itu.

“Tetapi saya minta bantuan kepada semua rakan-rakan media jangan buat sebarang kesimpulan sendiri dan kita tunggu kenyataan rasmi keluar,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button