Trauma tragedi Gerik masih menghantui pemandu Alza
SUNGAI PETANI – Hampir dua bulan selepas tragedi ngeri di Gerik yang meragut 15 nyawa penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), seorang guru yang terselamat dalam nahas itu masih dibayangi trauma setiap kali terlihat lampu bas dari cermin pandang belakang.
Menurut Mohd Lutfi Radzi, 37, guru Sekolah Kebangsaan (SK) Malau di Baling, kenangan kejadian 9 Jun lalu akan terus menghantui fikiran terutama apabila memandu pada waktu malam.

“Setiap kali nampak cahaya lampu bas di belakang, saya terus teringat semula kejadian itu,” katanya ketika menerima kunjungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar di rumahnya semalam.
Dalam lawatan tersebut, Mohd Lutfi sekeluarga turut menerima sumbangan RM10,000 menerusi Program Ziarah MADANI Peduli.
Isterinya, Nurul Ain Zakaria, 36, yang juga guru di SK Tembak serta anak sulung mereka yang berusia enam tahun kini dalam proses pemulihan selepas mengalami kecederaan serius.
BACA : Nahas bas UPSI: Dua ahli keluarga pemandu Perodua Alza parah
Kedua-duanya dijangka kembali ke sekolah pada September.
“Anak bongsu kami hanya cedera ringan dan kini pulih sepenuhnya, begitu juga saya,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Dalam kejadian di Kilometer 61 Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding itu, sebuah bas yang membawa pelajar UPSI terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum merempuh kenderaan yang dinaiki Mohd. Lutfi sekeluarga dari arah belakang.
Bas tersebut membawa pelajar yang dalam perjalanan pulang dari Terengganu ke kampus di Tanjung Malim selepas bercuti sempena Aidiladha.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







