BERITA SEMASA

Tol percuma sempena perayaan Krismas

PUTRAJAYA – Pengguna kenderaan persendirian Kelas 1 akan mendapat pengecualian tol di semua lebuh raya sempena perayaan Krismas.

Kadar tol percuma itu akan bermula pada pukul 12.01 tengah malam 23 Disember 2024 (Isnin) dan akan berakhir pada pukul 11.59 malam, 24 Disember 2024 (Selasa).

Pengecualian tol hanya akan diberikan kepada semua kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) di semua plaza tol kecuali di plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor Darul Takzim.

Menteri Kerja Raya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, Kerajaan MADANI telah bersetuju untuk memberikan tol percuma kepada kenderaan Kelas 1 sahaja selaras dengan aspirasi “MADANI di Hati, Rakyat Disantuni” sempena perayaan Hari Krismas 2024.

Beliau berkata pengecualian tol itu akan menyebabkan kerajaan menanggung implikasi kewangan dianggarkan berjumlah RM 38 juta bagi membayar balik kepada syarikat konsesi tol terbabit.

“Pengecualian tol ini diharapkan dapat memberi peluang kepada seluruh rakyat Malaysia MADANI yang berbilang kaum, budaya dan agama untuk sama-sama memeriahkan sambutan Hari Krismas 2024 terutama kepada yang beragama Kristian,” katanya dalam satu kenyataan.

Semua pengguna lebuh raya diharapkan dapat memanfaatkan pemberian pengecualian tol ini dengan sebaiknya dan merancang perjalanan dengan sewajarnya untuk mengelakkan kesesakan lalu-lintas semasa musim cuti.

Pengguna juga dinasihatkan supaya mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) yang disyorkan untuk meningkatkan aspek keselamatan dalam pengalaman pemanduan supaya semua pengguna lebuh raya dapat sampai ke destinasi dengan selamat bagi memaknai pengertian sambutan perayaan kali ini.

Bgi pengguna yang menggunakan lorong Smart Lane, mereka diminta supaya memberi isyarat awal sebelum memasuki lorong Smart Lane yang telah diaktifkan, memandu dengan kelajuan yang ditetapkan dan peka dengan keadaan sekeliling semasa.

Manakala bagi penunggang motosikal, mereka dinasihatkan untuk berhati-hati terutama semasa trafik tinggi di lebuh raya. Pastikan berhenti di tempat teduhan yang telah disediakan di lokasi terpilih di sepanjang lebuh raya serta sentiasa peka dan berwaspada apabila menghampiri laluan Smart Lane yang diaktifkan.

Pengguna juga disarankan untuk menyemak status trafik semasa atau sebarang insiden di lebuh raya yang dikemaskini melalui media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu di Facebook (Lembaga Lebuhraya Malaysia), di aplikasi X (@LLMtrafik) serta di TikTok (@llmtrafik).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button