Tikam sebab putus tunang
KOTA KINABALU – Putus tunang dikenal pasti sebagai motif pembunuhan seorang wanita di sebuah pusat membeli belah, di sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, siasatan awal mendapati mangsa memutuskan pertunangan dengan suspek yang berusia 33 tahun, dua hari sebelum kejadian atas alasan peribadi.
Suspek bagaimanapun berterusan mengganggu mangsa yang berusia 21 tahun sehingga mencarinya di tempat kerja kerana tidak puas hati dan mendesak hubungan disambung semula.
“Ketika kejadian, mangsa yang juga pembantu kedai aiskrim sedang bekerja seorang diri sebelum didatangi suspek yang dikenalinya selama setahun.
“Suspek dikatakan memujuk mangsa, namun mangsa tidak mahu menerima semula bekas tunangnya itu, menyebabkan suspek mendekati mangsa dan menikam mangsa beberapa kali sehingga mangsa rebah,” kata Kalsom.
Beliau menambah, mangsa dikatakan sempat menjerit meminta tolong dan didengari anggota keselamatan yang bergegas ke tempat kejadian.
Katanya, saksi melihat mangsa terlantar di lantai dengan suspek berdiri di sebelah mangsa sambil memegang sesuatu serta berlumuran darah.
“Pihak keselamatan kemudian menghubungi polis dan suspek yang juga warga tempatan kemudian berjaya ditangkap di lokasi,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, dengan tertangkapnya suspek, kes itu dianggap selesai dan pihaknya sedang melengkapkan siasatan sebelum tindakan pendakwaaan diambil.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





