Tiga sekeluarga maut: Anak sempat capai tangan ibu ketika kebakaran rumah
IPOH – Seorang anak sempat mencapai tangan ibunya yang terperangkap dalam kebakaran rumah di Persiaran Desa Tambun 4, Taman Desa Tambun, di sini, awal pagi tadi, namun gagal menyelamatkannya selepas jeriji balkoni berkunci.
Dalam kejadian pada pukul 4 pagi itu, Raja Ahmad Raja Ali, 70, bersama isterinya, Zaitun Mohamed, 64, serta cucu mereka, Nik Abdurrahman Azimin Harith Helal, 18, maut dalam kebakaran rumah teres dua tingkat berkenaan.
Anak pasangan itu, Raja Ikhwan Hadi Raja Ahmad, 47, berkata, adik bongsunya, Raja Muhammad Syukri Raja Ahmad, 30, yang ketika kejadian berada di rumah jiran, cuba menyelamatkan mangsa dengan memanjat balkoni bahagian belakang rumah.
Menurutnya, ketika itu api sedang marak dan asap tebal memenuhi bahagian hadapan rumah.
“Adik saya tanya di mana mak dan abah, lalu saya cakap semua mereka masih berada di tingkat atas. Dia cuba masuk melalui bahagian depan tetapi tidak boleh, lalu terus memanjat melalui balkoni belakang.
“Namun dia hanya sempat mencapai tangan emak dan gagal menyelamatkannya kerana jeriji balkoni berkunci,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Raja Ikhwan berkata, beberapa rakan turut cuba membantu dengan memasuki rumah melalui pintu dapur sebelum mengeluarkan tong gas bagi mengelakkan berlaku letupan.
Katanya, ketika kejadian dia sedang tidur di luar rumah, di bawah bumbung tambahan atau awning, yang menjadi tempat tidurnya setiap kali pulang lewat selepas melakukan tugasan sebagai pekerja katering.
“Selalunya jika saya pulang lewat, saya akan tidur di luar kerana tidak mahu mengganggu keluarga di dalam rumah.
“Saya terdengar suara orang meminta tolong. Mulanya saya sangkakan suara jiran sebelum disusuli bunyi kaca pecah,” katanya memetik laporan Metro Online.
BACA JUGA:
Tiga sekeluarga maut dalam kebakaran di Tambun
Raja Ikhwan berkata, dia kemudian bangun dan keluar ke kawasan pagar untuk melihat keadaan sebelum mendapati rumah keluarganya sedang terbakar.
Menurutnya, jeritan meminta pertolongan itu dipercayai suara anak saudaranya, Nik Abdurrahman Azimin Harith yang turut maut dalam kebakaran tersebut.
“Saya cuba masuk ke dalam rumah tetapi sebaik pintu dibuka, api marak terutama di bahagian tangga.
“Bila nampak api itu, saya patah balik. Saya tarik paip air tetapi tidak sampai, lalu terus berlari keluar untuk meminta bantuan jiran. Kebetulan adik saya (Raja Muhammad Syukri) juga berada di rumah jiran sebelah,” katanya.
Mengimbas beberapa jam sebelum kejadian, Raja Ikhwan berkata, dia tidur kira-kira pukul 11 malam selepas ibunya memintanya menutup lampu di bahagian luar rumah.
“Emak ada minta tolong saya tutup lampu luar. Emak berkata dia berasa sesuatu sambil termenung.
“Namun apabila saya tanya mengapa, dia kata tiada apa-apa,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


