Tiga rakyat AS antara mangsa maut akibat runtuhan salji di Gunung Yalung Ri
KATHMANDU – Sekurang-kurangnya tujuh orang terkorban termasuk tiga warga Amerika Syarikat apabila runtuhan salji melanda kem pendakian di Gunung Yalung Ri, Pergunungan Himalaya di sini semalam, menurut polis tempatan.
Timbalan superintendan polis, Gyan Kumar Mahato berkata, dua malim gunung tempatan turut maut bersama seorang warganegara Kanada dan seorang Itali. Empat lagi masih hilang manakala empat orang mengalami kecederaan.
Kementerian Luar AS memaklumkan sedang mengesahkan laporan media mengenai kematian warga AS dalam kejadian itu dan akan menyediakan bantuan konsular.
“Kami memantau situasi dengan teliti dan sedia memberikan bantuan konsular. Kami mengucapkan takziah kepada keluarga semua mangsa,” kata jurucakap kementerian.
Mangsa terdiri daripada lima pendaki antarabangsa bersama 10 malim gunung Nepal yang memulakan pendakian pada pagi Isnin.
Tanah runtuh berlaku sekitar pukul 8.30 pagi waktu tempatan, menimbus mereka, menurut Mahato.
Keadaan cuaca buruk menyukarkan operasi menyelamat menggunakan helikopter, manakala operasi darat tidak dapat dilakukan pada hari kejadian. Beberapa percubaan penyelamatan telah dilakukan sepanjang hari semalam.
Mahato berkata, helikopter akhirnya berjaya sampai ke Kampung Na, di timur gunung dan pasukan penyelamat darat turut dikerahkan. Operasi penyelamatan dijangka diteruskan hari ini.
Menurut Alan Arnette, pakar pendakian dari Colorado yang pernah menawan Gunung Everest, operasi kini kemungkinan besar akan bertukar kepada pemulihan mangsa.
“Sekarang ia tertangguh sekurang-kurangnya 12 hingga 18 jam yang hampir menghapuskan sebarang peluang menyelamatkan sesiapa.
“Jadi ia bertukar menjadi operasi pemulihan dan peraturan nombor satu ialah penyelamat tidak menjadi mangsa,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


