BERITA SEMASA

Tiga maut, empat cedera kemalangan lima kenderaan di Lebuh Raya Karak

KUANTAN – Tiga maut manakala empat lagi cedera dalam satu kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 50.7 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak arah Kuantan, berhampiran Kampung Lentang, Bentong, petang tadi.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan yang melibatkan sebuah lori lima tan, Honda Accord, Proton Waja, Proton Saga dan sebuah kenderaan jenis Subaru pukul 4.55 petang tadi.

“Tiga mangsa yang terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita dewasa yang meninggal dunia menaiki Honda Accord berkenaan.

“Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Beliau menambah, tiga lagi mangsa dalam Honda Accord itu, iaitu seorang wanita dewasa serta seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan, mengalami kecederaan.

“Mereka telah diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Bentong,” katanya.

Sementara itu, pemandu lori turut mengalami kecederaan, manakala lapan individu lain yang merupakan pemandu dan penumpang kenderaan lain terselamat dalam kemalangan tersebut.

Seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bentong terlibat dalam operasi menyelamat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button