‘Live location’ terhenti bawa petanda anak maut kemalangan
JOHOR BAHRU – Perasaan resah seorang ibu menjadi petanda awal tragedi apabila perkongsian lokasi masa sebenar (live location) anaknya tiba-tiba terhenti, sebelum terjawab dengan berita pilu nahas maut di Lebuhraya Senai–Desaru, awal pagi tadi.
Kebimbangan wanita dari Batu Pahat itu terbukti berasas apabila anaknya, Ammar Azwa Asri, 21, disahkan antara dua mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 45.6 lebuhraya berkenaan.
Bapa saudara mangsa, Sarjan Mejar (B) Suhaimi Abu Naim, 58, berkata, Allahyarham sebelum itu seolah-olah berat hati untuk pulang ke kampung meskipun keluarga akan mengadakan beberapa majlis termasuk pertunangan sepupu dan doa selamat.
“Menurut cerita mak dia, malam tadi arwah kata nak rehat dulu sebelum bertolak. Dia hanya bergerak sekitar pukul 4 pagi.
“Kira-kira pukul 5 pagi, ‘live location’ arwah tiba-tiba terhenti. Mak dia cuba hubungi tetapi tidak dapat. Pada mulanya disangka bateri telefon habis,” katanya memetik laporan Metro Online.
Bagaimanapun, perasaan tidak sedap hati mendorong ibu mangsa menghubungi adiknya yang bekerja sebagai polis bantuan dan tinggal berhampiran lokasi kejadian untuk membuat pemeriksaan.
“Hasil semakan di lokasi mendapati memang berlaku kemalangan dan Ammar Azwa disahkan meninggal dunia,” katanya dengan nada sebak.
Dalam kejadian pada pukul 5 pagi itu, seorang lagi mangsa maut ialah pemandu Proton Wira berusia 19 tahun, manakala beberapa penumpang lain cedera.

Mengulas peribadi Ammar Azwa, Suhaimi berkata arwah dikenali sebagai seorang yang ceria dan mudah disenangi.
“Di rumah atau di kampung, dialah yang selalu buat orang ketawa. Kehilangan ini berlaku terlalu mengejutkan, kami sekeluarga masih belum dapat menerima kenyataan,” katanya.
Difahamkan, Ammar Azwa yang baharu dua bulan bekerja sebagai juruteknik di Projek RAPID Pengerang, Kota Tinggi, kali terakhir pulang ke Batu Pahat adalah pada minggu lalu.
Kereta yang dipandunya ketika kejadian juga merupakan hadiah daripada ibu bapanya.
Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke Batu Pahat pada pukul 4.20 petang selepas selesai bedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Siba, Bagan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, siasatan mendapati pemandu Proton Wira yang maut tidak memiliki lesen memandu.
Beliau berkata, seorang penumpang kereta berkenaan masih belum dikenal pasti dan sedang menerima rawatan di HSI, manakala dua lagi penumpang iaitu remaja perempuan berusia 15 tahun dan remaja lelaki berusia 17 tahun turut cedera.
“Pemandu serta penumpang Perodua Myvi yang terbabit dalam kemalangan itu dipercayai rakan sekerja Ammar Azwa di Projek RAPID Pengerang,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








