BERITA SEMASA

Tidak perlu ke luar negara bagi dapatkan rawatan kecantikan berkualiti – Dr. Che Hafiz

INDUSTRI kecantikan yang semakin berkembang pesat menjadikan Malaysia sebagai destinasi import utama produk kecantikan dari Singapura dan Amerika Syarikat (AS).

Perkhidmatan perubatan yang lebih murah berbanding negara jiran seperti Thailand, Korea dan Jepun juga dilihat menjadi salah satu faktor industri berkenaan semakin rancak di negara ini.

Sehubungan dengan itu, jenama tempatan mula mendapat perhatian pengguna dalam industri kecantikan dan penjagaan diri di Malaysia.

Jika sebelum ini rakyat lebih gemar ke luar negara bagi mendapatkan rawatan estetik, kini mereka boleh berbuat begitu di negara ini dengan harga yang lebih murah dengan kualiti setaraf antarabangsa.

Menurut Pengasas Regalion Clinic, Dr. Che Hafiz, tanggapan orang ramai terhadap kualiti rawatan kecantikan tempatan kini sudah berubah susulan permintaannya yang kian meningkat.

Pengasas Regalion Clinic, Dr. Che Hafiz.

Jelas Che Hafiz atau Che Muhammad Hafiz Che Baharom, jika dibandingkan dengan rawatan di luar negara, bahan dan peralatan yang digunakan seperti di kliniknya adalah ‘lebih kurang sama’.

“Jika dibandingkan dengan luar negara, apa yang kami guna dengan apa yang mereka guna adalah lebih kurang sama cumanya mereka mungkin telah menggunakannya dengan lebih awal,” katanya ketika ditemui media baru-baru ini.

Mengulas mengenai isu doktor yang tidak bertauliah di Malaysia, Che Hafiz berkata, pihaknya menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan pakar kecantikan tidak bertauliah.

Menurut Che Hafiz lagi, rawatan kecantikan yang dijalankan oleh golongan doktor tidak bertauliah berkenaan hakikatnya akan membawa kemudaratan kepada mereka yang menjalani rawatan kecantikan yang disediakan.

Jelas beliau, setiap klinik kecantikan yang beroperasi perlu mendapatkan kelulusan dan pengiktirafan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) terlebih dahulu dengan perlu melalui proses yang sangat ketat.

“Memang saya tengok banyak pakar kecantikan di luar sana mereka tidak bertauliah sebab saya juga dapat banyak kes pelanggan yang mana kesan yang dibuat oleh mereka yang tidak bertauliah ini, komplikasinya sudah teruk … jadi mereka dengan sini minta tolong.

“Sebagai seorang doktor seperti saya yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM) kita ada pengetahuan dan sudah tentu untuk buka klinik bukan mudah kerana perlu lalui prosesnya, malah kita juga sudah melakukan kajian terhadap produk-produk dan mesin yang kita gunakan semua lulus KKM,” katanya.

Mengulas dengan lebih lanjut, Che Hafiz berkata, jika dahulu penjagaan kecantikan dan diri sering dilabel kepada wanita sahaja, namun kini, ia dilihat sama rata terhadap golongan lelaki.

“Dulu mungkin wanita lebih banyak tetapi sekarang sama banyak kerana mungkin kesedaran dalam kalangan orang lelaki telah meningkat dalam penjagaan diri mereka.

“Saya rasa golongan lelaki tidak malu tetapi mereka ini tidak tahu di mana tempat yang sesuai atau apa rawatan yang perlu mereka lakukan.

“Justeru itu, apa yang boleh saya sarankan adalah supaya mereka datang ke klinik untuk buat pemeriksaan. Tidak semestinya perlu buat rawatan,” ujarnya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button